Penyakit kencing manis atau diabetes jenis dua tidak mustahil boleh sembuh dan seterusnya tidak perlu makan ubat sepanjang hayat sekiranya dirawat dengan betul.
Menurut Utusan Malaysia, segalanya bergantung kepada komitmen pesakit untuk menurunkan berat badan dengan memantau pengambilan karbohidrat yang menjadi punca utama obesiti seterusnya membawa kepada penyakit diabetes.
Berdasarkan data dikeluarkan Pakar Perubatan Dalaman dan Endokrin Hospital KPJ Tawakkal, Dr. Mohammad Arif Shahar,
kira-kira enam peratus pesakit diabetes di bawah pemantauannya berjaya sembuh sepenuhnya.
“Walaupun kadar itu adalah terlalu sedikit tetapi lebih 50 peratus dalam kalangan pesakit mempunyai kawalan gula HbA1C di bawah paras 6.5 peratus iaitu paras yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Hampir 80 peratus pesakit mempunyai kadar HbA1C di bawah tujuh peratus dan hanya lima peratus daripada pesakit yang mempunyai kadar HbA1C di atas 10 peratus,” katanya pada Bicara
Kesihatan, Pulih daripada Kencing Manis dan Obesiti sempena Pelancaran Program Penjagaan Kencing Manis, di Hospital KPJ Tawakkal, baru-baru ini.
HbA1C adalah glycated haemoglobin, sering digunakan berkaitan dengan penyakit kencing manis. Ia sering menjadi panduan untuk mendiagnosis pesakit kencing manis.
HbA1c adalah gambaran gula dalam badan bagi tempoh tiga bulan ke belakang.
Bacaan normal adalah 5.5mmol/L ke bawah. Bacaan diabetes atau pradiabetes adalah 5.6 hingga 6.2 mmol/L.
Sekiranya bacaan tinggi daripada 6.3 mmol/L, seseorang itu mengalami diabetes. Ini boleh diperiksa melalui pemeriksaan darah di makmal.
PENDEKATAN KAUNSELING
Bagi membentuk komuniti yang bebas daripada diabetes, Mohammad Arif mengambil inisiatif menjalankan kursus dan latihan bagi petugas kesihatan untuk membantu pesakit berubah menggunakan pendekatan teknik kaunseling, ‘motivational interviewing’.
Inisiatif itu dijalankan bersama rakan setugas, antaranya termasuk Penolong Prof. dan Pakar Perunding Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Faiz Md. Tahir.
Katanya, pada tahun 2019, seorang pesakit kencing manis berusia 25 tahun berjaya sembuh daripada kencing manis.
“Pesakit berkenaan bukanlah seorang yang obes tetapi disahkan mengalami kencing manis dengan bacaan HbA1c adalah 14.
“Ini kerana purata gula yang diperiksa setiap hari, paling rendah adalah antara 11 dan tinggi, 30mmol/L iaitu antara 20 hingga 25 mmol/L, sepanjang tiga bulan ke belakang.
“Jadi, pesakit itu dimasukkan ke wad dan dirawat, terpaksa makan ubat satu bakul mengandungi insulin dan lima jenis ubat kencing manis. Selepas setahun, daripada lima ubat, kurang kepada tiga ubat dan selepas dua tahun, tinggal satu ubat sahaja,” katanya.
Selepas beberapa bulan, pesakit itu sudah tidak mengambil ubat selama lebih kurang tiga tahun dan kini bebas kencing manis.
Seorang lagi pesakit berusia 69 tahun, mempunyai bacaan HbA1c setinggi 8.9 peratus. Bacaan gula pula antara 10 hingga 15 mmol/L setiap hari.
Hasil menjalani program pemantauan berkenaan, pesakit itu berjaya sembuh daripada diabetes dan hanya makan ubat kencing manis selama lapan bulan sahaja.
Pesakit tidak lagi makan ubat selama lima tahun dan bacaan gula normal antara 5.4 hingga 5.6 mmol.
Jelasnya, 80 peratus rawatan untuk pulih daripada diabetes datang daripada usaha pesakit sendiri.
Manakala doktor, petugas kesihatan dan dietitian, hanya membantu sebanyak 20 peratus.
“Kebanyakan orang Malaysia yang mengalami kencing manis, tidak boleh baik sebab mereka ‘simpan’ obesiti (kegemukan) atau tambah gemuk. Jadi, sampai bila-bila kita akan dengar mereka kena hidup dengan kencing manis sampai akhir hayat.
“Jika kita berusaha menurunkan berat badan, maka kencing manis akan hilang,” katanya.
Tempoh yang diperlukan untuk sembuh bergantung kepada komitmen dan motivasi.
Namun, hanya pesakit yang menghidap diabetes jenis dua yang berpunca daripada obesiti boleh sembuh.
Ini berbeza bagi mereka yang mempunyai diabetes jenis satu (diabetes disebabkan penyakit autoimun).
Tempoh rawatan untuk sembuh daripada kencing manis mengambil masa secepat lapan bulan dan ada yang mengambil masa menjangkau tiga tahun.
“Kesembuhan memerlukan komitmen dan motivasi yang tinggi, peranan petugas kesihatan, termasuk doktor dan pakar dietetik adalah amat penting bagi membantu pesakit menjalani perubahan gaya hidup.
“Mereka tidak sepatutnya menjadi penghalang usaha pesakit untuk sembuh, malah perlu bersedia menyokong dan memberi motivasi kepada pesakit agar usaha mereka berterusan,” katanya.
JAGA PEMAKANAN
Terdapat tiga perkara boleh dilakukan untuk memulihkan kencing manis dan obesiti.
“Langkah pertama, kita perlu faham yang menyebabkan obesiti dan diabetes, 80 peratus adalah disebabkan pemakanan yang mengandungi karbohidrat. Jadi, menjaga pemakanan tidaklah sesukar mana. Zat pemakanan terdiri daripada karbohidrat, protein, lemak, serat, air, vitamin dan mineral.
“Satu saja penyebab obesiti adalah karbohidrat. Lainnya iaitu protein, lemak, serat, air, vitamin dan mineral, tiada sangkut paut dengan obesiti dan kencing manis. Perlu pantau satu sahaja iaitu karbohidrat,” katanya.
Karbohidrat akan bertukar menjadi gula dalam darah. Gula itu digunakan sebagai tenaga tetapi jika tidak dipakai, gula akan disimpan di dalam hati.
Bila hati sudah penuh, ia akan bertukar ke lemak.
Seterusnya lemak akan ke perut. Perut akan membesar dan menyebabkan naik berat badan.
Lemak yang tersimpan dalam perut sebenarnya tidak datang daripada lemak yang dimakan tetapi daripada karbohidrat.
“Apabila hati penuh, lambat hendak bertukar ke lemak, bila makan lagi karbohidrat, gula mula melimpah dalam salur darah dan bila periksa darah, gula tinggi.
“Selain daripada itu, bila lemak di perut lambat di eksport dari hati ke perut, lemak akan berkumpul dalam hati. Ini dipanggil lemak hati. Selepas 20 tahun, lemak hati ini akan menyebabkan hati berparut,” katanya.
Lemak dalam perut juga menukarkan hormon perempuan iaitu estrogen ke hormon lelaki iaitu testosteron atau sebaliknya.
Justeru, apabila perempuan ada lebih hormon lelaki, akan menyebabkan timbul misai, jerawat, haid tidak menentu dan boleh mengalami Sistem Ovari Polisistik (PCOS) yang menyukarkan individu mendapat zuriat.
Langkah kedua, mengenal jenis karbohidrat kerana terdapat karbohirat paling bagus dan paling teruk.
“Bezanya karbohidrat yang bagus, apabila kita makan, gula akan naik perlahan-lahan. Bagi karbohidrat yang paling teruk, bila dimakan, gula akan naik mendadak atau gula spike.
“Karbohidrat yang paling teruk adalah gula pasir. Gula ini berasal daripada tebu yang mengandungi lima zat iaitu serat, air, vitamin, mineral dan karbohidrat. Ia dihasilkan melalui proses pembuangan air dan vitamin, meninggalkan 100 peratus kristal karbohidrat tulen,” katanya.
GULA PERANG LEBIH SIHAT?
Mohammad Arif berkata, gula putih atau gula perang sama sahaja. Pembuatannya adalah hasil campuran karamel dengan gula putih yang terhasil daripada gula putih yang hangit. Sebenarnya, ia adalah 100 peratus karbohidrat hangit.
Begitu juga dengan penghasilan gula nisan, gula Melaka dan gula kabung yang melalui proses yang sama.
“Karbohidrat paling bagus adalah bijirin orang Malaysia iaitu beras. Apabila makan nasi, gula akan naik perlahan-lahan berbanding gula pasir.
“Makanan hasil bijirin yang diproses seperti laksa, kuetiau atau bihun lebih menggemukkan dan meningkatkan kadar gula. Siapa diet dengan menolak nasi dan makan makanan proses ini, tidak akan berjaya menurunkan berat badan,” katanya.
Manakala karbohidrat daripada gandum yang diproses menjadi tepung gandum dan digunakan untuk menghasilkan kuih-muih juga lebih tinggi kandungan gula.
Jangan takut nasi
Nasi sering disalaherti menjadi punca kepada kegemukan dan obesiti.
Justeru, ramai yang cenderung takut dan cuba menghindar mengambil nasi dalam diet seharian.
“Dalam bahasa perubatan, karbohidrat yang baik mengandungi Indeks glisemik (GI) yang lebih rendah berbanding karbohidrat yang tidak baik. Jadi, siapa hendak turunkan berat, makan nasi.
“Jangan tukar nasi kepada bihun, laksa dan sebagainya atau hanya makan buah kerana berat badan tidak turun atau meningkat,” katanya.
Kena pandai kira kuantiti karbohidrat
Kata Mohammad Arif, orang Malaysia makan antara 18 hingga 25 senduk nasi sehari semalam dalam pelbagai bentuk.
“Kalau dikira karbohidrat yang lain, ia akan menjadi 25 senduk nasi sehari. Sarapan sahaja sudah tiga senduk nasi iaitu satu keping roti canai (satu senduk nasi), dal separuh cawan ( dua senduk nasi), tiga sudu krimer dalam teh tarik (satu senduk nasi).
“Sekitar jam 10 pagi selepas sarapan atau ketika jamuan mesyuarat, makan lagi snek atau kuih muih seperti dua karipap (lima senduk nasi), teh O dengan satu sudu gula (enam senduk nasi),” katanya.
Tengah hari pula, makan dua senduk nasi, kari kentang, tembikai, air sirap yang kesemuanya berjumlah sebelas senduk nasi kesemuanya.
Jumlah karbohidrat bertambah apabila tiba minum petang. Hidangan seperti goreng pisang, satu keping goreng pisang (dua senduk nasi). Biasanya makan empat keping, menjadikan kuantiti karbohidrat bertambah kepada 19 senduk nasi.
Makan malam sama seperti tengahari, tambah lagi empat senduk menjadikan 23 senduk nasi. Selepas makan malam, sambil menonton televisyen, makan tiga keping biskut (satu senduk nasi) dengan air coklat segelas (satu senduk nasi).
“Disebabkan inilah, obesiti satu dalam dua orang di negara kita, iaitu paling obes di Asia Tenggara. Diabetes dalam negara kita adalah satu dalam enam orang. Ini kerana ramai yang tukar strategi tidak makan nasi sebaliknya, makan makanan yang diproses yang tidak mengenyangkan akhirnya makan lebih banyak. Bila kenyang makan nasi, sebenarnya kita akan kurang makan makanan lain.
“Selain bijak memilih karbohidrat yang baik, pesakit juga perlu mahir dalam mengira kuantiti karbohidrat dalam setiap makanan yang dimakan.
“Satu senduk nasi bersamaan dengan separuh cawan kuah dal dan sebiji kentang. Ia juga sama dengan satu potong tembikai bersaiz satu inci. Satu senduk nasi juga bersamaan satu senduk laksa atau spagheti,” katanya.
Sekiranya bijak mengira kuantiti karbohidrat yang dimakan, pesakit boleh menurunkan berat badan daripada 150 kilogram (kg) kepada 100 (kg) tanpa sebarang ubat atau pembedahan.
Katanya, makan nasi beriani lebih baik berbanding makan sandwich kerana ia tidak meningkatkan kadar gula dan mampu membuatkan perut terasa kenyang lebih lama.
“Kencing manis boleh baik asalkan anda tahu menurunkan berat dengan berkesan. Berpegang kepada tiga prinsip, bagi mengekalkan gaya hidup kita. Nombor satu mesti berpegang kepada budaya, kita orang Malaysia, makan nasi. Kita tidak perlu bertukar kepada oat iaitu bijirin orang Eropah.
“Keduanya, mesti tiada kos tambahan semata-mata untuk menukar diet. Tidak perlu tukar nasi dan sebagainya kepada ikan salmon.
“Kalau ketika keluar makan bersama kawan hendak makan roti canai, tukar dal kepada kari dan minum air kopi atau teh o tanpa gula,” katanya.
































