Mohd. Taip Isai
KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan merangkap Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd. Taib Isai hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti itu bersama beberapa pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat yang didakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Warisan.
Mohd. Taib berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.
Menurutnya, ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian selain beranggapan parti itu semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.
“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa dan hala tuju perjuangan yang lebih sesuai untuk masa depan Sabah.
“Kami melihat keperluan kepada sebuah wadah politik yang mampu menjamin kestabilan, perpaduan serta pembangunan berterusan untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Taib berkata, beliau yakin kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah agenda pembangunan yang jelas.
Katanya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji turut memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan itu, beliau bersama kumpulannya mengambil keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Kami percaya perjuangan melalui Gagasan Rakyat dan GRS lebih selari dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pembangunan berterusan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dengan lebih ramai pimpinan serta ahli Warisan dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
Antara pemimpin Warisan yang turut mengumumkan keluar parti ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; serta Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah.
Turut bersama meninggalkan parti ialah mantan Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Datuk Hanjan Samit; mantan Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Andrew Lintangah; Penyelaras DUN Tanjung Kapor, Datuk Arif Abdullah; dan mantan Timbalan Ketua Penaja Bahagian Warisan Kudat, Abu Bakar Angkang.
Selain itu, beberapa ahli jawatankuasa bahagian, ketua pusat daerah mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Sandakan turut menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat.






























