Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA (Bernama): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, mengadakan libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung pindaan Perlembagaan bagi memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata arahan itu dibuat susulan beberapa perkara yang dititahkan Raja-Raja Melayu pada Majlis Raja-Raja, berhubung cadangan pindaan berkenaan.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengadakan libat urus dan perbincangan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, yang telah menyediakan draf bagi pindaan Perlembagaan tersebut.
“Selepas pada itu, sebarang pindaan ataupun penambahbaikan perlu dimaklumkan semula kepada Majlis Raja-Raja,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini hari ini.
Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai hasil sembah maklum Perdana Menteri kepada Majlis Raja-Raja, berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Beliau berkata kedua-dua cadangan itu merupakan antara usaha reformasi institusi utama kerajaan, yang masih memerlukan beberapa proses diperhalusi sebelum dapat diteruskan.
“Jadi ini dua usaha reform yang besar dan ada sedikit lagi proses yang perlu diperhalusi,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan Parlimen kini berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Majlis Perkhidmatan Parlimen, sekali gus menamatkan penguasaan pihak eksekutif terhadap pentadbiran institusi perundangan tertinggi negara.
“Ini telah menunaikan salah satu janji dan salah satu usaha reformasi institusi yang sangat besar dan dengan cara ini kita percaya demokrasi akan terus mekar di negara kita,” katanya. — BERNAMA
































