Juliah menyantuni kanak-kanak kurang upaya semasa Program Ziarah Amal MUTIARA GRS ke Pusat Autisme Sabah dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan hari ini.
KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, hari ini mengetuai Program Ziarah Amal MUTIARA GRS ke tiga pusat kebajikan dan komuniti di sekitar ibu negeri sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan serta individu berkeperluan khas.
Program anjuran Biro Kebajikan MUTIARA GRS itu melibatkan lawatan ke Pusat Autisme Sabah dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya di Sembulan, Malaysian Children’s Hospice Kota Kinabalu (MCH KK) di Taman Bunga Raja serta Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) di Taman Kingfisher.
Dalam program berkenaan, Juliah menyampaikan sumbangan MUTIARA GRS bernilai RM2,000 kepada setiap pusat yang dilawati, selain sumbangan barangan dan peralatan yang ditaja oleh Yayasan Azam Jaya sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh institusi terbabit.
Beliau bersama rombongan MUTIARA GRS memulakan lawatan di Pusat Autisme Sabah dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan sebelum meneruskan kunjungan ke MCH KK yang menyediakan penjagaan dan sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan rawatan paliatif.

Rombongan kemudian meneruskan program ke PSKS yang selama ini aktif membantu pesakit kanser dan keluarga mereka melalui pelbagai program sokongan serta kemudahan rumah penginapan PSKS.
Juliah berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MUTIARA GRS dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang, khususnya golongan yang memerlukan sokongan moral dan bantuan kebajikan.
Katanya, selain menyampaikan sumbangan, lawatan itu turut memberi peluang kepada ahli-ahli MUTIARA GRS mendekati komuniti, memahami cabaran yang dihadapi pengurusan pusat kebajikan serta menyemarakkan budaya kesukarelawanan dan nilai kasih sayang dalam masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja bertujuan menghulurkan bantuan, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa mereka tidak bersendirian dan sentiasa mendapat perhatian serta sokongan daripada masyarakat,” katanya.

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Naib Yang Dipertua I merangkap Pengerusi Biro Kebajikan MUTIARA GRS, Datin Seri Linda Ewit; Naib Yang Dipertua III merangkap Pengerusi Biro Agama, Datin Hajah Lenny Natasha Tun Musa; Setiausaha Kehormat, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag. Mohd. Saufi; Penolong Setiausaha Kehormat, Datin Sri Asiah Udian; Penolong Bendahari Kehormat, Datin Doren Asiah Azlan @ Philip; Pengerusi Biro Rumah, Datin Hajah Noriah Pg. Ahmad; Pengerusi Biro Pelita dan Seranta, Datin Ma Siew Tzu @ Rovianie; Pengarah Eksekutif Azam Jaya Group, Datuk Jessica Lo Vun Che; serta Ahli MUTIARA GRS, Datin Litah Anita Philip.






























