SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) dan meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran domestik serta antarabangsa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bersetuju menubuhkan jawatankuasa itu bagi memperkemas hala tuju serta penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan dalam memperkasa promosi, penggunaan dan pembelian produk tempatan.
Katanya, langkah itu juga bertujuan meningkatkan nilai jualan domestik dan eksport produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.
“Jawatankuasa Kabinet ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia.
“KPDN yakin penubuhan jawatankuasa ini akan memperkukuh gerakan JOM MALAYSIA sebagai agenda nasional yang menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan sempena Festival JOM MALAYSIA di sini, hari ini.
Beliau berkata, JOM MALAYSIA merupakan transformasi kepada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984.
Menurutnya, gerakan nasional itu dilancarkan secara rasmi pada 27 Jun lalu di Pasar Seni, Kuala Lumpur bagi melonjakkan kesedaran dan kebersamaan rakyat dalam agenda memperkasa promosi, penggunaan dan pembelian produk tempatan menerusi pendekatan whole-of-nation.
Festival JOM MALAYSIA yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan dari 24 hingga 26 Julai pula menjadi sebahagian daripada strategi memperluaskan pelaksanaan agenda itu ke seluruh negara.
Armizan berkata, penganjuran festival berkenaan turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sektor swasta, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta masyarakat.
Festival itu menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik melalui pelbagai aktiviti termasuk pameran dasar serta program kerajaan, reruai jualan PMKS, Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), selain aktiviti hiburan dan sukan rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan festival di Sandakan turut mencerminkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan penggunaan serta pembelian produk tempatan.
Menurutnya, gerakan JOM MALAYSIA akan diperkukuh berasaskan empat teras utama iaitu menjadikannya sebagai gerakan nasional yang menyemarakkan patriotisme ekonomi, menggerakkan pendekatan whole-of-nation melibatkan semua pihak berkepentingan, memperluaskan skop kepada produk dan perkhidmatan tempatan serta membuka peluang produk Malaysia menembusi pasaran global.
“Penubuhan jawatankuasa ini akan memperkemas dasar, hala tuju, strategi dan pendekatan di semua peringkat bagi membina ekosistem yang kondusif supaya produk Malaysia menjadi pilihan utama rakyat serta lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
































