LONDON (Bernama-PA Media/dpa): Masalah dalam sistem data baharu kerajaan menyebabkan individu tersilap ditahan di sempadan United Kingdom (UK) untuk disoal siasat mengenai status imigresen mereka, menurut hasil siasatan, lapor PA Media/dpa.
Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO) menegur Kementerian Dalam Negeri UK berhubung kelemahan “ketara” itu.
ICO berkata masalah itu timbul apabila kementerian berkenaan mengemas kini platform maklumat kawalan sempadan yang telah digunakan selama 30 tahun pada Oktober 2024 dan gagal memastikan maklumat peribadi yang digunakan adalah terkini.
Di bawah sistem terdahulu, satu pasukan khusus membetulkan kesilapan dalam masa nyata, namun platform baharu dikenali sebagai “Helios” yang dibangunkan bersama BAE Systems tidak mempunyai mekanisme khusus untuk melaporkan ketidaktepatan maklumat.
ICO berkata masalah itu menyebabkan individu tersilap ditahan untuk pemeriksaan tambahan, yang “berpotensi menyebabkan tekanan psikologi dan kesan buruk lain.”
Hasil siasatan mendapati bahawa dari 2 hingga 11 Okt 2024, sebanyak 87 permohonan untuk membetulkan maklumat tidak dapat diproses.
Sistem pembetulan sementara terpaksa diperkenalkan dan menjelang Mac 2026, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa kira-kira 5,000 rekod yang tidak tepat telah dipadamkan.
Pengurus Siasatan ICO Joanne Stones berkata: “Orang ramai mesti yakin bahawa keputusan mengenai status imigresen mereka di sempadan UK dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan terkini. Mereka juga berhak mengharapkan mekanisme yang pantas dan cekap untuk membetulkan maklumat yang tidak tepat.
“Siasatan kami mendapati Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan sistem baharu tanpa memastikan kakitangannya mempunyai prosedur yang jelas dan berkesan untuk melaporkan serta membetulkan maklumat peribadi yang tidak tepat.
“Kegagalan itu berpotensi membawa akibat serius, termasuk individu tersilap ditahan untuk pemeriksaan tambahan atau tidak dibenarkan memasuki UK.
“Perlindungan data sejak peringkat reka bentuk bukan sekadar melibatkan teknologi. Ia juga mengenai usaha memastikan proses, tanggungjawab, latihan dan langkah perlindungan yang diperlukan untuk melindungi maklumat peribadi individu ditetapkan dengan betul sejak awal.
“Kami menyedari bahawa sistem bersekutu seperti Helios mempunyai cabaran tersendiri dan mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri sejak masalah ini dikenal pasti.
“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri mesti memastikan penyelesaian kekalnya menyediakan mekanisme yang mantap dan berkesan untuk mengenal pasti serta membetulkan maklumat yang tidak tepat tanpa berlengah.” — BERNAMA-PA MEDIA/dpa
































