KUALA LUMPUR (Bernama): Kerugian akibat penipuan dalam talian di negara ini mencecah RM7.33 bilion sejak 2023 hingga Oktober, melibatkan 192,689 kes, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 75,266 individu ditangkap yang membawa kepada 69,665 pertuduhan di mahkamah.
Menurut Saifuddin Nasution, bagi tahun ini sahaja sehingga Oktober, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian direkodkan melibatkan kerugian RM1.56 bilion, dengan 20,842 individu ditangkap seterusnya melibatkan pertuduhan terhadap 18,369 individu di mahkamah.
“Ciri penting bagi mana-mana sindiket yang mahu memperdayakan mangsa penipuan dalam talian ini ialah akaun keldai. Bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026 sahaja, kami kesan 254,546 akaun (kaldai) dan daripada jumlah itu, sebanyak 137,699 sudah dituduh di mahkamah.
“Kami juga dapati ramai golongan pelajar terjebak memberi kebenaran untuk menjadikan akaun milik mereka sebagai akaun keldai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian dialami rakyat Malaysia sejak 2023.
Saifuddin Nasution berkata terdapat enam corak modus operandi penipuan dalam talian dikesan melibatkan jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Beliau berkata jenayah telekomunikasi merekodkan kes tertinggi sejak 2023, iaitu sebanyak 73,043 melibatkan kerugian RM2.132 bilion.
“Yang kedua paling tinggi ialah jenayah e-dagang sebanyak 50,749 kes dengan kerugian mencecah RM509 juta, diikuti pelaburan tidak wujud (27,863 kes) dengan kerugian lebih tinggi sehingga RM3.4 bilion.
“Trend jenayah ini semakin meningkat dan apabila kami profilkan mangsanya, golongan wanita lebih ramai menjadi mangsa berbanding lelaki. Bagi setiap 10 mangsa, enam orang perempuan, empat orang lelaki dengan profil pekerjaan kebanyakannya pekerja sektor swasta,” katanya.
Saifuddin Nasution ketika menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau mengenai usaha dilakukan dalam mengekang kes penipuan dalam talian berkata kerajaan berusaha meningkatkan kesedaran rakyat selain mewujudkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
“Sepanjang Oktober sahaja, kami catatkan 30,000 panggilan bersamaan 1,000 sehari. Hakikat bahawa lebih ramai yang memanggil dan mengadu itu tidak begitu baik kerana lebih ramai berpotensi menjadi mangsa tetapi ada kesedaran, maka jika mereka menjadi mangsa, mereka akan segera membuat aduan.
“Selain itu, portal Semakmule yang berfungsi untuk membantu pengguna menyemak nombor panggilan atau nombor akaun meragukan, sejak Oktober 2020 sehingga kini telah mencatat sehingga 78 juta pelawat yang memanfaatkannya untuk melakukan semakan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kementerian sentiasa memperkasa kerjasama dengan agensi kawal selia dan penguat kuasa di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa, Biro Siasatan Persekutuan selain perkongsian maklumat antara negara ASEAN menerusi Cybercrime Operation Programme. — BERNAMA






























