TUARAN: Seramai 237 anggota kontinjen Tuaran akan membawa cabaran daerah itu dalam Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPP Sabah) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 Disember ini.
Kontinjen itu terdiri daripada 227 peserta serta 10 anggota pengurusan yang akan bertanding dalam 14 acara dan kategori.
Bagi menyuntik semangat mereka, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji menyampaikan sumbangan kepada kontinjen berkenaan sebagai penghargaan terhadap komitmen warga pendidik yang membahagikan masa antara tugas di sekolah dengan latihan.
Ghazali yang juga Penasihat Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran, berkata penghargaan itu turut ditujukan kepada jurulatih dan pengurus pasukan yang menyelaras latihan serta menjaga kebajikan peserta.
“Di sebalik setiap pasukan yang bersedia untuk bertanding, ada masa, tenaga dan pengorbanan ramai pihak yang wajar kita hargai,” katanya pada Majlis Pertemuan dan Penyerahan Sumbangan kepada Kontinjen Tuaran di sini, Rabu.
Beliau berkata sikap guru yang menepati masa ketika latihan, bersedia menerima teguran dan membantu rakan sepasukan turut menjadi contoh kepada murid mengenai erti disiplin dan kerjasama.
Tuaran turut diberi tanggungjawab menganjurkan acara bola tampar wanita, manakala empat daerah lain yang menjadi tuan rumah kejohanan ialah Kota Kinabalu, Penampang, Kota Belud dan Papar.
Ghazali yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, menggesa pasukan bola tampar wanita Tuaran memanfaatkan sokongan di gelanggang sendiri untuk beraksi dengan yakin.
Beliau turut mengingatkan seluruh kontinjen supaya menghormati lawan dan keputusan pengadil, selain menjaga kesihatan serta keselamatan sepanjang enam hari kejohanan.
“Walaupun saudara dan saudari menyertai acara yang berbeza, kita membawa nama daerah yang sama. Saling menyokong, raikan usaha rakan dan kekalkan semangat sebagai satu Kontinjen Tuaran,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran (Sektor Perancangan) Junaidi Haji Daya, bersama pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, wakil Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), pengurus pasukan, jurulatih dan atlet.
































