Hajiji melakukan gimik penutupan kursus berkenaan.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menggesa penubuhan sebuah hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi, selain menjadi pusat latihan utama bagi perkhidmatan kecemasan prahospital di Sabah.
Beliau berkata langkah perlu diambil untuk menangani kekurangan, khususnya dari segi tenaga kerja dan peralatan ambulans, di seluruh Sabah termasuk kawasan bandar dan pedalaman, bagi memastikan perkhidmatan prahospital dan ambulans dapat memberikan rawatan kecemasan berkualiti tinggi serta berkesan.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini termasuk Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular (strok) dan kemalangan jalan raya, katanya.
Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut menunjukkan peningkatan trend panggilan kecemasan menerusi talian 999 di negeri ini, daripada 14,256 panggilan pada 2024 kepada 15,434 pada 2025, manakala 10,154 panggilan direkodkan setakat September tahun ini, katanya.
“Apabila kita berbicara mengenai rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan prahospital dan ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada kesinambungan penjagaan kesihatan kepada masyarakat, bagi memastikan tindak balas yang pantas dan segera,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) dan Kecergasan 2026 di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Hajiji berkata anggota penyelamat awal yang terlatih dalam kalangan masyarakat memainkan peranan penting sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan kecemasan prahospital.
“Intervensi awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi, malah mampu menyelamatkan nyawa.
“Justeru, usaha melatih lebih ramai anggota penyelamat awal serta membentuk pasukan berkemahiran yang bersedia menghadapi kecemasan dan situasi tidak dijangka amat penting dalam mengurangkan angka kematian,” katanya.
Menurut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Sabah mempunyai kira-kira 3.4 juta penduduk yang tersebar di kawasan geografi yang luas, dengan purata kepadatan penduduk yang agak rendah iaitu 46 orang bagi setiap kilometer persegi.
Dalam keadaan itu, katanya, peluang untuk seseorang bertahan dalam beberapa minit kritikal pertama ketika kecemasan amat bergantung kepada keupayaan orang awam dan anggota penyelamat awal komuniti yang terlatih untuk memulakan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Hajiji berkata kursus sulung itu, yang turut melibatkan pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai daripada Jabatan Ketua Menteri, amat tepat pada masanya.
“Ini merupakan satu inisiatif yang wajar dipuji dan perlu diteruskan secara berkala serta diperluaskan kepada semua pengiring peribadi wakil rakyat yang berkhidmat kepada masyarakat di lapangan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Datuk Dr G Mohan A Gopal Naidoo, dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Sabah, atas penganjuran program itu.
“Saya berharap kursus ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada pengiring peribadi yang belum mengikuti latihan seumpama ini, malah turut menjadi contoh kepada Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Hajiji turut menggesa setiap ADUN memanfaatkan sebahagian daripada peruntukan masing-masing untuk melatih dan membentuk pasukan tindak balas kecemasan berkemahiran yang mampu menangani kecemasan serta situasi tidak dijangka di kawasan masing-masing.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Lebih ramai orang awam perlu dilatih sebagai anggota penyelamat awal bagi mencapai sasaran ‘Seorang Penyelamat Awal dalam Setiap Keluarga’,” katanya.






























