MOSCOW (Bernama-Sputnik/RIA Novosti): Individu yang sudah menghidap penyakit dan sedang menerima rawatan di kemudahan perubatan merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti bakteria super yang kebal terhadap rawatan dan sedang menular di Eropah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada RIA Novosti.
Awal November lepas, kajian oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menunjukkan bahawa bakteria berbahaya Klebsiella pneumoniae sedang merebak dengan pantas di hospital di Eropah, dengan beberapa strain bakteria itu telah menjadi kebal terhadap hampir semua antibiotik.
“Strain bakteria yang kebal ini menular terutamanya di hospital dan kemudahan kesihatan lain dalam kalangan pesakit yang sudah menghidap penyakit,” menurut WHO.
WHO turut memaklumkan bahawa Klebsiella pneumoniae bukanlah mikroorganisma baharu.
“Bakteria ini merupakan punca biasa jangkitan di hospital dan masalahnya ialah semakin banyak bakteria itu tidak lagi bertindak balas terhadap rawatan,” menurut WHO.
WHO memaklumkan kepada RIA Novosti bahawa pihaknya bimbang dengan peningkatan jumlah kes jangkitan bakteria super yang kebal terhadap ubat itu di Kesatuan Eropah (EU).
Pertubuhan itu menilai kebarangkalian penularan selanjutnya di negara-negara EU dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) sebagai tinggi. — BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI






























