ISTANBUL (Bernama-Anadolu): Ketua Pegawai Kecerdasan Buatan (AI) Meta Alexandr Wang pada Ahad berkata AI yang mampu mengatasi keupayaan intelek manusia bakal menjadi kenyataan, sambil memberi amaran bahawa keputusan yang dibuat dalam tempoh setahun akan datang amat penting dalam menentukan bagaimana manusia menghadapinya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kecerdasan super bakal tiba. Tindakan manusia sepanjang tahun depan akan membawa kesan besar terhadap masa depan dunia yang bakal kita diami,” kata Wang menerusi platform X.
Eksekutif berusia 29 tahun itu merujuk kepada sistem AI yang berupaya mengatasi keupayaan manusia terbaik dalam hampir semua bidang termasuk penyelidikan saintifik, penyelesaian masalah dan pembangunan teknologi.
Kenyataan Wang itu menyusul dakwaan seorang penyelidik Anthropic bahawa beliau menggunakan model AI Claude keluaran syarikat itu untuk membantu membuktikan Hipotesis Riemann.
Dikemukakan oleh ahli matematik Jerman Bernhard Riemann pada 1859, hipotesis itu berkaitan taburan nombor perdana dan merupakan antara masalah matematik paling terkenal yang masih belum diselesaikan.
Wang menyifatkan perkembangan itu sebagai “permulaan kepada perubahan besar”.
Beliau berhujah bahawa sekiranya AI mampu membantu menyelesaikan masalah pada tahap kesukaran sedemikian, kekangan utama yang masih wujud ialah pengetahuan khusus, infrastruktur teknikal dan eksperimen.
Beliau berkata AI berkemungkinan tidak lama lagi mampu menjalankan penyelidikan berkaitan AI secara sendiri dan menjadi “jelas lebih hebat daripada manusia” dalam meningkatkan keupayaannya sendiri.
Beliau turut memberi amaran bahawa AI boleh mempercepatkan penyelidikan dalam bidang biologi, persenjataan dan ekonomi pada kadar yang sukar diimbangi manusia.
“Sukar untuk membayangkan dunia yang membolehkan manusia mengekalkan kawalan terhadap proses penambahbaikan kendiri rekursif yang tidak dikekang sepenuhnya,” tulisnya, merujuk kepada sistem AI yang berulang kali meningkatkan keupayaan sendiri.
Wang turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “pemikiran malas” dalam industri AI, termasuk pandangan bahawa kemunculan kecerdasan super tidak dapat dielakkan dan aspek keselamatan merupakan satu-satunya cabaran yang masih perlu ditangani.
Beliau berkata syarikat perlu mengambil “langkah yang benar-benar berbeza” bagi membolehkan orang ramai mempunyai lebih banyak kawalan terhadap kesan teknologi berkenaan terhadap kehidupan mereka.
Wang mengasaskan syarikat pelabelan data Scale AI dan menyertai Meta pada 2025 untuk menerajui Meta Superintelligence Labs selepas Meta membuat pelaburan bernilai berbilion dolar dalam Scale AI.
Meta, OpenAI, Google dan Anthropic kini membelanjakan dana yang besar bagi membangunkan sistem AI dengan keupayaan lebih canggih. — BERNAMA-ANADOLU






























