TOKYO (Bernama-Kyodo): Pita magnet yang pernah digunakan secara meluas dalam kaset audio dan video kini kembali mendapat perhatian sebagai medium penyimpanan data berkapasiti besar secara luar talian, susulan peningkatan ancaman serangan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI), lapor Kyodo News.
Perkembangan itu mendorong Fujifilm Holdings Corp. mengumumkan rancangan meningkatkan kapasiti pengeluaran pita magnetnya sebanyak lima kali ganda berbanding paras tahun fiskal 2025.
Syarikat itu merancang melabur kira-kira 10 bilion yen (US$63 juta) bagi memperluas kapasiti pengeluaran di kemudahannya di Odawara, Wilayah Kanagawa menjelang tahun fiskal 2028.
Pelaburan berkenaan bertujuan menghasilkan pita magnet generasi terbaharu dengan kapasiti penyimpanan sehingga 100 terabait untuk kegunaan pusat data AI dan sektor lain.
Permintaan terhadap pita magnet sebelum ini merosot apabila ingatan kilat (flash memory) dan cakera keras luaran menjadi medium penyimpanan utama, namun Fujifilm terus membangunkan teknologi berkenaan, termasuk meningkatkan kapasiti penyimpanannya.
Pita magnet membolehkan data disimpan secara luar talian, sekali gus melindunginya daripada perisian tebusan dan serangan siber lain kerana data diasingkan secara fizikal daripada rangkaian komputer.
Selain Fujifilm, satu-satunya pengeluar utama pita magnet lain di Jepun ialah Sony Storage Media Corp. yang berpangkalan di Tagajo, Wilayah Miyagi. — BERNAMA-KYODO






























