SEREMBAN (Bernama): Sindiket pengedaran dadah kini dikesan menggunakan media sosial dan aplikasi web tertutup sebagai platform penjualan rokok elektronik atau vape bercampur cecair dadah sintetik atau “piu-piu” sebelum dihantar kepada pembeli termasuk pelajar menerusi perkhidmatan penghantaran.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata modus operandi itu membolehkan urusan pembelian dilakukan tanpa secara bersemuka antara penjual dengan pembeli, sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan kegiatan berkenaan.
“Komunikasi antara penjual dan pembeli berlaku melalui platform tertentu, termasuk laman ‘dark web’ (web tertutup) sebagai pengantara yang membolehkan mereka berhubung secara tertutup bagi mendapatkan barang terlarang itu.
“Pembayaran pula dibuat secara dalam talian sebelum bekalan dihantar kepada pembeli menggunakan perkhidmatan e-panggilan atau kurier. Daripada risikan polis, satu katrij dijual pada harga antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada kualiti dan kandungannya,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata penyalahgunaan vape mengandungi cecair piu-piu itu mula dikesan di Negeri Sembilan sejak tahun lepas dan merupakan ancaman baharu yang semakin membimbangkan khususnya melibatkan pelajar.
Alzafny berkata polis mengesan tiga kes melibatkan pelajar sekolah menengah di negeri ini dalam tempoh tiga tahun terkini dengan satu kes pada Mei lepas dan dua lagi pada awal bulan ini manakala cecair vape yang dirampas mengandungi dadah termasuk methamphetamine, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin.
Pada 5 Nov lepas, media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Nilai dikesan positif tiga jenis dadah iaitu ketamin, benzodiazepin dan tetrahydrocannabinol (THC), dengan dia disiasat susulan penularan video melalui media sosial memaparkannya berada dalam keadaan khayal disyaki akibat penggunaan vape.
Dalam pada itu, Alzafny berkata faktor keluarga serta tekanan emosi antara punca golongan berkenaan terjebak dalam penyalahgunaan vape bercampur cecair piu-piu dengan ada yang menggunakannya sebagai cara untuk melepaskan stres.
“Mereka juga mungkin menggunakan vape itu untuk mendapatkan satu pengalaman baharu kerana ia memberikan kesan khayal, berbeza daripada vape biasa,” katanya dan menambah reka bentuk moden serta bau yang menarik juga digemari remaja selain senang untuk dibawa dan disembunyikan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata semua ketua polis daerah diarahkan untuk meningkatkan pemeriksaan mengejut di sekolah khususnya di kawasan asrama selain memperkenalkan program ‘Heart to Heart’ yang membolehkan pegawai polis mengadakan sesi perbincangan secara terbuka dengan pelajar.
Alzafny turut menggesa pihak berkuasa tempatan meneliti semula kebenaran atau permit penjualan vape, khususnya bagi mengawal akses golongan pelajar kepada produk berkenaan selain menasihati ibu bapa supaya lebih proaktif memantau pergaulan anak-anak.
“Ibu bapa juga perlu kerap memeriksa barangan peribadi seperti beg sekolah bagi mengesan kemungkinan anak-anak memiliki peranti vape atau penyalahgunaan dadah, antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah perubahan tingkah laku sehingga anak hilang kawalan diri dan bertindak di luar kebiasaan,” katanya.
Mengenai penjualan vape mengandungi dadah di negeri ini, beliau berkata tangkapan terbaharu membabitkan dua warga asing berserta rampasan 732 katrij berjumlah 7,320 mililiter yang disyaki mengandungi ketamin bernilai RM219, 600 di sebuah rumah di Lembah Klang, Oktober lepas.
Beliau berkata individu terbabit dalam kegiatan membekalkan atau mengedar cecair vape mengandungi dadah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala pelajar terlibat pula akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk rawatan dan pemulihan. — BERNAMA
































