Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) direkodkan di kawasan kampung dan sekolah dalam Parlimen Tuaran hasil audit yang dijalankan dari 1 Januari hingga 1 September tahun ini.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata perkara itu dibangkitkannya menerusi soalan lisan kepada Kementerian Komunikasi pada persidangan Dewan Rakyat kelmarin.
Beliau meminta penjelasan mengenai jumlah kampung, sekolah dan klinik yang gagal mencapai standard berkenaan serta pelan tindakan kerajaan untuk menangani jurang liputan, kapasiti rangkaian, sambungan backhaul dan penyelenggaraan.
Dalam jawapannya, Kementerian Komunikasi memaklumkan daripada 33 ketidakpatuhan itu, 28 direkodkan di kawasan kampung manakala lima lagi di sekolah.
Audit berkenaan melibatkan 37 lokasi, terdiri daripada 30 kawasan kampung, enam sekolah dan sebuah klinik, dengan tiada ketidakpatuhan direkodkan di klinik yang diaudit.
Menurut kementerian itu, MCMC bersama penyedia perkhidmatan sudah mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan, termasuk pengoptimuman rangkaian sedia ada bagi menangani 19 ketidakpatuhan di kawasan kampung dan lima di sekolah.
Kerja penambahbaikan liputan dan kapasiti rangkaian turut dilaksanakan bagi menangani tiga ketidakpatuhan di kawasan kampung.
Selain itu, kerajaan mengenal pasti perancangan pembinaan 10 tapak baharu di kawasan kampung dan dua tapak baharu di kawasan sekolah.
Bagaimanapun, Madius membangkitkan keperluan memastikan tindakan penyelesaian itu disertakan perancangan lebih jelas mengikut kawasan, khususnya dari segi jenis intervensi dan sasaran tarikh siap.
Kementerian memaklumkan pelan tindakan bagi menangani jurang liputan dan kapasiti rangkaian, termasuk sambungan backhaul, masih diperincikan berdasarkan penilaian teknikal, prestasi rangkaian semasa, kesiapsiagaan tapak serta kelulusan berkaitan.
MCMC juga akan meneruskan pemantauan penyelenggaraan rangkaian, termasuk gangguan berulang, bekalan kuasa, sistem transmisi dan perkakasan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi beroperasi pada tahap optimum.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memaklumkan pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan dipertingkatkan secara berperingkat bermula penghujung suku keempat 2026 menerusi penyediaan perkhidmatan selular 4G atau gabungan 4G dan 5G serta jalur lebar satelit mengikut kesesuaian lokasi.
Pelaksanaan itu mengambil kira faktor kepadatan penduduk, bentuk muka bumi dan ketersediaan infrastruktur sedia ada bagi memperluas akses komunikasi, termasuk di Parlimen Tuaran.
Akses Internet yang stabil dan berkualiti penting bagi memenuhi keperluan pendidikan, urusan harian masyarakat serta perkembangan ekonomi digital, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.






























