WASHINGTON (Bernama-Sputnik/RIA Novosti): Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa Megaspeed International, syarikat berpangkalan di Singapura yang menjadi tumpuan kontroversi membabitkan Nvidia telah dimasukkan dalam senarai hitam perdagangan negara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Jabatan Perdagangan AS menerbitkan dokumen berkaitan dalam Daftar Persekutuan (Federal Register), iaitu saluran penerbitan rasmi dokumen kerajaan AS.
Sehari sebelum itu, lembaga pengarah Nvidia sebulat suara memutuskan untuk melantik semula Jensen Huang sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan anggota lembaga pengarah berkuat kuasa serta-merta, selepas mengadakan rundingan dengan pegawai kerajaan AS.
Nvidia sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan Huang susulan skandal membabitkan hubungan rapatnya dengan Alice Huang, yang menerajui Megaspeed sehingga 2025.
Alice sebelum ini memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat berkenaan, yang kini sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman dan Jabatan Perdagangan AS berhubung kemungkinan pelanggaran sekatan eksport serta kaitannya dengan kerajaan China. — BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI




























