PUTATAN: Agenda pembangunan mapan di Parlimen Putatan akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan taraf kehidupan, sosial dan ekonomi rakyat sentiasa dipertingkatkan, kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, pelan pembangunan yang efisien bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan penduduk, malah meletakkan Putatan sebagai sebuah kawasan yang terus membangun pada masa hadapan.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat, pelaksanaan pembangunan infrastruktur serta program komuniti mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk dan memastikan Parlimen Putatan kekal berdaya saing dengan kawasan lain di Sabah.
“Kita menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM2 juta setiap tahun bagi kawasan Parlimen Putatan dan Alhamdulillah, peruntukan itu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Antara projek yang telah dilaksanakan ialah pembinaan Dewan Terbuka SK Contoh, padang SMK Tansau dan astaka SMK Tansau.
“Sebelum ini kita juga membina padang SMK Putatan, selain memasang lampu jalan, membina parit dan melaksanakan pelbagai lagi projek infrastruktur.
“Peruntukan Persekutuan itu sebenarnya tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan pembangunan infrastruktur, namun kita sentiasa berusaha mendapatkan dana tambahan melalui kementerian-kementerian berkaitan,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Padang Kampung Duvanson di sini, hari ini.
Shahelmey berkata, projek pembinaan padang kampung itu melibatkan kos kira-kira RM300,000 dan dibiayai menerusi peruntukan Parlimen Putatan.
“Projek padang ini merupakan sebahagian daripada peruntukan Parlimen dan saya difahamkan ia dijangka siap serta boleh digunakan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.
“Saya menerima maklum balas yang amat positif daripada penduduk yang gembira dengan pembinaan padang ini kerana mereka mahu memanfaatkannya untuk pelbagai aktiviti seperti sukan, acara tradisi dan kegiatan kemasyarakatan lain.
“Kita berharap penduduk Kampung Duvanson dapat bersabar sedikit sementara menunggu padang ini siap sepenuhnya menjelang hujung tahun, dan saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya melalui pelbagai aktiviti yang positif dan sihat,” katanya.
Mengulas perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Enam membabitkan jajaran Ketiau–Penampang–Inanam yang dijangka siap pada Ogos ini, Shahelmey berkata, laluan berkenaan akan memudahkan pengguna jalan raya selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan komuniti setempat.
“Ia merupakan laluan alternatif yang menghubungkan Kota Kinabalu Selatan dengan Kota Kinabalu Utara, sekali gus mampu mengurangkan kepadatan serta kesesakan lalu lintas yang tertumpu di Bandaraya Kota Kinabalu.
“Laluan ini dijangka siap pada Ogos dan harapan saya agar semua pengguna jalan raya menggunakan laluan tersebut dengan berhemah serta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.






























