Julita (tengah) dan Shahril (enam dari kiri) bersama para peserta mesyuarat GPN Sabah.
KOTA KINABALU: Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah akan terus memperkukuh perlindungan pengguna melalui pendekatan rentas agensi bagi menangani cabaran semasa yang melibatkan kos sara hidup, keselamatan makanan, transaksi digital dan ancaman penipuan dalam talian.
Pengerusi Bersama GPN Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, Mesyuarat GPN Sabah Bil. 1/2026 menjadi platform penting dalam menyelaras pandangan serta memperkukuh kerjasama antara pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, badan pengguna dan pihak berkepentingan.
“Pendekatan rentas agensi adalah sangat penting kerana cabaran kepenggunaan hari ini tidak lagi bersifat tunggal, sebaliknya melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital,” katanya ketika mempengerusikan bersama mesyuarat tersebut di sini hari ini.
Julita berkata, peningkatan aktiviti digital dalam kalangan pengguna telah membuka ruang kepada pelbagai kemudahan, namun pada masa yang sama turut meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi serta penyebaran maklumat tidak sahih.
“‘Scammer’ bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti bergerak lebih pantas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh literasi digital dan kesedaran pengguna akan terus menjadi antara fokus penting dalam usaha bersama pelbagai agensi berkaitan.
Pada masa yang sama, Julita berkata isu kos sara hidup dan keselamatan makanan akan turut diberikan perhatian berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa GPN Sabah akan terus berperanan sebagai platform penyelarasan strategik dalam memperkukuh tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan strategik berkaitan kepenggunaan.
“Pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya, dan ini adalah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang diperkukuh melalui GPN Sabah akan terus menyumbang kepada usaha melindungi kepentingan pengguna serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Turut hadir ialah Pengerusi GPN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Maria Chong; Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Fredeck Kantod; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr. Ts. Ramle Kasin; Pengarah Jabatan Kimia Sabah, Ts. Harun Ahmad; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, Ratnawaty Talib; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Dr. Cleopatra @ Clare Asing; Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah; Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah, Kevin Loh Kian Min; dan Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan.






























