Jahid (tengah) menyaksikan mantan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging menyerahkan sumbangan kepada Sister Apollonia.
TAMPARULI: Prihatin terhadap kebajikan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.14 Tamparuli, Datuk Seri Jahid Jahim mengetuai rombongan bahagian itu mengadakan lawatan ke Girl’s Hostel Kampung Bantayan bagi menyampaikan bantuan makanan dan sumbangan wang tunai kepada penghuni asrama berkenaan hari ini.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu menampung keperluan harian para pelajar yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan selain memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan yang lebih selesa dan kondusif.
Turut mengiringi Jahid dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Madin Anak; Naib Ketua Bahagian I, Jilias Lintar; Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin; serta mantan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
Jahid yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berkata, bantuan yang disalurkan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan pelajar luar bandar yang berdepan dengan cabaran ekonomi.
“Kita amat berbesar hati dapat membantu pelajar-pelajar di asrama ini. Pendidikan merupakan aset penting untuk masa depan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan sumbangan serta kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin bersama-sama membantu meningkatkan kebajikan pelajar di asrama tersebut.
Menurutnya, semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan.
Katanya lagi, usaha membantu pelajar yang memerlukan perlu diteruskan secara berterusan agar mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa dibebani masalah keperluan asas.
Lawatan dan penyampaian sumbangan itu turut memberi peluang kepada rombongan berinteraksi dengan para pelajar serta pihak pengurusan asrama bagi mendapatkan gambaran mengenai keperluan semasa yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang.
Beliau berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelajar terus terpelihara.






























