Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, antara penambahbaikan utama ialah peluasan kelayakan SKDS dan SKPS kepada kenderaan jenis jip dan pikap dalam sektor pengangkutan darat barangan.
Menurut beliau, selain didaftarkan atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan turut mengambil kira kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta status pendaftaran sebagai kenderaan perdagangan.
“Peluasan SKDS dan SKPS adalah bagi kenderaan jenis pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon 950 kilogram hingga 7,500 kilogram,” katanya dalam kenyataan mengenai status pelaksanaan penambahbaikan SKDS dan SKPS hari ini.
Armizan berkata, kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, Kategori Khas Lain serta Barangan-Tiada Permit atau Off-Road tidak termasuk dalam senarai kelayakan.
Setakat tempoh 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak 8,862 kenderaan berjaya didaftarkan di bawah peluasan skim tersebut melibatkan 8,524 pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan sebagai langkah memperkukuh mekanisme kawal selia dan membendung ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.
Katanya, setiap fleet card kini mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada had kuota yang ditetapkan bagi 23 jenis kenderaan yang layak di bawah SKDS.
“Penetapan kuota telah dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata, syarikat atau entiti perniagaan yang memerlukan penggunaan melebihi kuota yang ditetapkan masih boleh mengemukakan rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).
Menurutnya, permohonan tersebut perlu disertakan justifikasi keperluan operasi dan rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan.
“Bagi syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota yang ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP),” katanya.
Setakat 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan rayuan tambahan kuota melibatkan 82 kenderaan dan permohonan berkenaan sedang diproses untuk pertimbangan JKSP.
Armizan menegaskan KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan yang benar-benar layak serta mengekang ketirisan akibat penyelewengan dan penyeludupan.
































