James Ratib
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib memaklumkan bahawa akaun Facebook peribadinya telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.
James menegaskan bahawa beliau tidak pernah dan tidak akan meminta nombor akaun bank, nombor telefon, maklumat peribadi, kata laluan, kod pengesahan sekali guna (OTP) atau sebarang bentuk bantuan kewangan melalui media sosial.
“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah dan tidak akan meminta nombor akaun bank, nombor telefon, maklumat peribadi, kata laluan, kod pengesahan (OTP) atau sebarang bentuk bantuan kewangan melalui media sosial.
“Oleh yang demikian, sebarang mesej, hantaran, komen atau komunikasi yang menggunakan nama, gambar atau identiti saya bagi tujuan sedemikian adalah palsu dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
James turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang cubaan penipuan atau scam yang menggunakan nama serta identitinya untuk memperdaya masyarakat.
Menurutnya, individu yang menerima mesej mencurigakan berkaitan perkara itu diminta supaya mengabaikannya dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa atau saluran rasmi yang berkaitan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang cubaan penipuan yang menggunakan nama serta identiti saya untuk memperdaya masyarakat,” katanya.
James berkata, segala maklumat rasmi berkaitan tugas dan urusannya sebagai Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi hanya akan disalurkan menerusi saluran komunikasi rasmi yang disahkan oleh pejabatnya.
Beliau turut menghargai kerjasama dan keprihatinan semua pihak dalam membantu membendung jenayah siber serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“Kerjasama dan keprihatinan semua pihak dalam membantu membendung jenayah siber serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian amatlah dihargai,” katanya.
































