Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang merangka Pelan Hala Tuju Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah 2026–2030 bagi membangunkan industri OGSE yang mampan dan berdaya tahan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelan hala tuju itu tidak akan dibangunkan menerusi pendekatan yang terlalu berpusat, sebaliknya melalui kerjasama rapat antara kerajaan, PETRONAS serta semua pihak berkepentingan utama dalam industri.
“Industri yang kukuh dan berdaya tahan mesti dibentuk melalui kerjasama erat antara kerajaan, PETRONAS dan semua pihak berkepentingan utama termasuk pengendali, kontraktor, vendor, persatuan industri, institusi kewangan serta penyedia latihan,” katanya ketika merasmikan pembukaan Persidangan dan Pameran OGSE Sabah 2026 yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi mendengar taklimat daripada PETRONAS semasa Persidangan dan Pameran OGSE Sabah 2026 di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji berkata, maklum balas daripada semua pihak berkepentingan amat penting dalam merangka pelan hala tuju tersebut dan menggesa peserta persidangan memanfaatkan platform itu untuk membincangkan pelan strategik berkenaan.
“Pelan hala tuju ini mesti praktikal, dipacu industri dan berorientasikan hasil. Ia perlu menangani kekangan sebenar yang dihadapi syarikat tempatan serta menyediakan laluan pertumbuhan yang jelas dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang kritikal,” katanya.
Beliau berkata, bidang tumpuan pertama ialah akses kepada modal menerusi penyediaan kemudahan kredit yang stabil serta modal kerja khusus bagi membantu vendor tempatan membiayai projek luar pesisir yang memerlukan pelaburan tinggi.
Bidang kedua ialah peningkatan teknikal bagi membolehkan vendor tempatan melaksanakan skop kejuruteraan yang lebih kompleks, khususnya dalam integriti aset dan aktiviti pembangunan utama di Sabah.
Bidang ketiga pula ialah pemadanan bakat bagi menghubungkan peluang pekerjaan teknikal bernilai tinggi secara langsung kepada belia Sabah dan mengekalkan tenaga kerja mahir di negeri ini.
“Saya percaya perbincangan dan cadangan yang dikemukakan dalam persidangan ini amat penting kepada kita dan itulah sebabnya anda semua berada bersama kami hari ini. Saya menantikan pandangan serta cadangan yang akan dikongsikan,” katanya.
Hajiji menyifatkan sektor OGSE sebagai pemangkin ekonomi berpotensi tinggi yang mampu membantu Sabah beralih daripada sekadar pengeluar sumber kepada penyedia perkhidmatan bernilai tambah, di samping menyokong pertumbuhan inklusif serta aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Lebih penting lagi, sektor ini menjadi pemacu utama pembangunan kandungan tempatan, penciptaan pekerjaan, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kepelbagaian sumber hasil,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan 60 peratus pemilikan kontrak oleh vendor OGSE tempatan tahun ini susulan kejayaan pelaksanaan dasar Jawatankuasa Kecil 4 (SC4) di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 7 Disember 2021.
Sejak pelaksanaan dasar SC4, jumlah kontrak aktif yang diperoleh vendor tempatan Sabah meningkat dengan ketara daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak aktif pada 2026.
Sehingga kini, sebanyak 393 vendor OGSE berpangkalan di Sabah telah diiktiraf secara rasmi dan dinilai dari segi keupayaan teknikal mereka.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mahu syarikat Sabah melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi subkontraktor berkeuntungan rendah kepada kontraktor utama, pemegang lesen, penerima teknologi serta pencipta nilai jangka panjang.
“Matlamat utama kita ialah memastikan lebih banyak nilai ekonomi yang dijana daripada industri minyak dan gas Sabah kekal di negeri ini, sambil meneruskan kerjasama yang kukuh dan saling menguntungkan dengan rakan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau mengalu-alukan kehadiran pengendali antarabangsa, syarikat nasional utama dan penyedia perkhidmatan yang mapan sebagai rakan penting dalam pembangunan Sabah, memandangkan negeri ini mempunyai sumber yang kukuh, persekitaran operasi yang kompetitif, hala tuju dasar yang jelas menerusi CCA serta kerajaan yang pro-perniagaan.
“Namun, apa yang kita cari bukan sekadar kerjasama. Kita mahukan kerjasama yang mempunyai tujuan. Kandungan tempatan mestilah bermakna, boleh diukur dan mampan.
“Kita mengharapkan kerjasama yang mampu menyediakan pemindahan teknologi sebenar, pembangunan keupayaan secara berstruktur, latihan tenaga kerja tempatan serta penyertaan komersial yang adil.
“Mereka yang benar-benar komited meningkatkan kemahiran pekerja Sabah, membangunkan keupayaan vendor tempatan dan mewujudkan operasi jangka panjang di Sabah akan mendapati Kerajaan Negeri sebagai rakan yang menyokong dan boleh dipercayai,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan industri minyak dan gas Sabah telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan sejak penemuan besar pertama pada tahun 1971.
Hari ini, Sabah menyumbang lebih 40 peratus daripada pengeluaran minyak mentah Malaysia dan kira-kira 20 peratus pengeluaran gas asli negara.
Namun, beliau menegaskan Sabah tidak boleh lagi berpuas hati dengan peranan sebagai pembekal sumber mentah semata-mata.
“Masa depan Sabah bukan hanya terletak pada aktiviti pengeluaran, tetapi juga pada aspek pemilikan ekuiti, pelaksanaan dan penguasaan tempatan.
“Kita mesti memastikan kekayaan yang dijana daripada sumber negeri ini mampu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang kukuh, peluang pekerjaan yang lebih baik, keupayaan teknikal yang lebih mendalam serta limpahan ekonomi yang lebih meluas di seluruh Sabah,” katanya.
































