KOTA KINABALU: Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di kawasan Kampung Air di sini pada awal pagi kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4 pagi di sebuah premis makanan di Kampung Air dan mengakibatkan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an cedera pada bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari.
Beliau berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu yang berada di premis berkenaan sebelum bertukar menjadi pergaduhan.
“Mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut kemudiannya dipercayai telah diserang oleh beberapa suspek,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Syed Lot, kira-kira sejam kemudian satu lagi kejadian pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi yang sama melibatkan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian terdahulu.
Katanya, seorang lelaki turut mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul dalam kejadian berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian termasuk sebatang hulu senjata dan satu sarung yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata tajam,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Syed Lot berkata, mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Movendran Apoorvasamy di talian 018-5746310 bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.
“Polis memandang serius sebarang perbuatan keganasan dan pergaduhan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.






























