BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort menahan sebuah kenderaan serta merampas kira-kira 1,000 liter diesel yang disyaki dipindahkan secara menyalahi undang-undang dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Jamiah Bakar berkata, pihaknya menerima serahan barang kes dan tiga Orang Kena Tuduh (OKT) daripada anggota Task Force Perisikan Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, kes itu dipercayai berlaku pada 3 Jun lalu kira-kira jam 10.45 malam sebelum tindakan sitaan semula dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa KPDN bagi tujuan siasatan.
“Antara barang yang disita ialah sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader Double Cabin, minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 1,000 liter yang disimpan dalam tangki ubah suai di dalam kenderaan, satu gelung hos, sebuah pam minyak elektrik serta dokumen-dokumen berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,320 termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kes tersebut.
Jamiah berkata, kes itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dilaksanakan oleh KPDN dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya diesel.
Katanya, penguatkuasaan antara agensi itu bertujuan memastikan bekalan barang kawalan sampai kepada golongan sasar selain mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
“KPDN memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan bekalan dan kepentingan pengguna.
“Pihak KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peraturan-peraturan di bawahnya dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil sekiranya sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Jamiah menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan di kawasan masing-masing.
Katanya, aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Beliau menegaskan KPDN akan terus mempergiatkan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu melalui pendekatan risikan, pemeriksaan dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan dapat dibanteras secara menyeluruh.






























