Armizan Mohd. Ali
KUNDASANG: Kerajaan menambah baik mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan penyaluran subsidi lebih bersasar, telus dan berkesan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, langkah itu dibuat ketika negara berdepan konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga dan bekalan global, sekali gus menyebabkan lonjakan harga minyak dunia serta peningkatan ketara implikasi kewangan subsidi bahan api kerajaan.
“Sebagai contoh, subsidi bahan api petrol dan diesel yang ditanggung Kerajaan sebelum tercetusnya konflik ialah RM1.29 bilion bagi Januari dan RM1.20 bilion bagi Februari 2026.
“Namun sejak bermulanya konflik pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi petrol dan diesel melonjak kepada RM5.67 bilion bagi Mac, iaitu peningkatan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.
Armizan berkata, jumlah itu belum termasuk subsidi bahan api lain dan Kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi selagi harga minyak dunia kekal tinggi serta krisis tenaga berlarutan.
Menurut beliau, kerajaan komited meneruskan penyaluran subsidi bahan api secara bersasar menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS di bawah kawal selia kementeriannya.
Sehingga 20 Mei 2026, katanya, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan dalam sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah mendapat manfaat subsidi petrol dan diesel.
“Daripada jumlah itu, 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan menerima manfaat di bawah SKPS, manakala 160,527 syarikat melibatkan 393,678 kenderaan di bawah SKDS,” katanya.
Armizan berkata, susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu, beberapa penambahbaikan utama telah diputuskan.
Antaranya ialah peluasan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara, berbanding sebelum ini terhad di Cameron Highlands sahaja.
“Sehubungan itu, syarikat dalam sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran SKDS berkuat kuasa 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan turut memperluas manfaat subsidi kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada penukaran pendaftaran kepada syarikat.
“Pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftar syarikat atau perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak serta memindahkan hak milik kenderaan kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan dalam mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.
“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada kategori 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan berdasarkan analisis penggunaan dua tahun terkini.
“Pelarasan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.
Menurutnya, syarikat yang memerlukan penggunaan melebihi had kuota boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia oleh KPDN.
“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran, dengan pertimbangan berdasarkan keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan menggalakkan syarikat yang belum memanfaatkan subsidi bahan api untuk mendaftar di bawah SKPS dan SKDS melalui portal MySubsidi.
Beliau turut mengingatkan semua syarikat yang telah berdaftar agar bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang diperoleh daripada syarikat minyak.
“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan penggantungan fleet card secara serta-merta dan syarikat terlibat akan disenarai hitam,” katanya.




























