Abqaree Fawwaz Abekan
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyambut baik perkembangan pelaburan sektor pembuatan Sabah yang mencatatkan kelulusan bernilai RM25.59 bilion melibatkan 101 projek bagi tempoh September 2020 hingga Jun 2026, dengan potensi mewujudkan 9,157 peluang pekerjaan.
Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata perkembangan tersebut memperlihatkan potensi pertumbuhan sektor industri negeri yang perlu dimanfaatkan untuk memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.
“MBS melihat pertumbuhan pelaburan sebagai peluang penting untuk memperkukuh ekonomi Sabah. Namun, kejayaan pelaburan tidak seharusnya diukur melalui nilai modal dan jumlah projek semata-mata, tetapi juga berdasarkan kualiti pekerjaan, peningkatan pendapatan serta penyertaan anak muda tempatan dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, angka potensi 9,157 pekerjaan perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan sebenar yang menawarkan pendapatan kompetitif, peningkatan kemahiran dan laluan kerjaya yang mampan.
Abqaree berkata penyelarasan antara keperluan industri dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi perlu diperkukuh bagi memastikan anak muda Sabah mempunyai kemahiran yang relevan dengan perkembangan sektor pembuatan.
“Kita bukan sekadar mahu anak muda Sabah mengisi kekosongan pekerjaan, tetapi mempunyai keupayaan untuk berkembang sebagai tenaga mahir, profesional dan pemimpin industri pada masa hadapan,” jelasnya.
Sehubungan itu, MBS mencadangkan agar pelaksanaan pelaburan turut disertai pemantauan terhadap jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan, kadar pengambilan pekerja tempatan, tahap gaji serta peluang latihan dan peningkatan kemahiran.
Beliau turut berpandangan bahawa penyertaan perusahaan tempatan, khususnya usahawan muda, dalam rantaian bekalan industri perlu diberikan perhatian supaya manfaat pelaburan dapat diperluas kepada ekonomi komuniti.
“Pelaburan yang berkualiti bukan sahaja mewujudkan pekerjaan, tetapi membangunkan bakat, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh ekosistem perusahaan tempatan.
“MBS bersedia bekerjasama dengan kerajaan, pemain industri dan institusi latihan bagi memastikan anak muda Sabah bukan sekadar menjadi tenaga kerja, tetapi turut menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.






























