KOTA KINABALU: Dua beranak maut selepas kereta Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap sebuah kontena yang dipercayai terjatuh daripada lori kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, kira-kira jam 6.20 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan anak perempuannya berusia 24 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori kontena sedang menjalankan kerja mengangkat kontena menggunakan kren di bahu jalan.
“Kontena tersebut dipercayai terjatuh lalu menghempap kereta Toyota Avanza yang dinaiki kedua-dua mangsa ketika melalui kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba kira-kira jam 9.55 malam.
Mereka kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas pada jam 9.58 malam.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, untuk tujuan bedah siasat.
Shahrudin berkata, pemandu lori berusia 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp Brymenedren Godon, di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.




























