IPOH (Bernama): Jauwadee Bun Chea dinobatkan sebagai Miss Malaysia Tourism 2026 pada pertandingan ratu cantik peringkat kebangsaan yang berlangsung di sini malam tadi, mengetepikan 14 lagi finalis dari seluruh negara.
Dengan kemenangan itu, jelitawan berusia 24 tahun ini yang membawa pulang wang tunai RM5,000, biasiswa Quest International University bernilai RM50,000 serta set barangan kemas Bintang Galeria bernilai RM8,800, bakal mewakili Malaysia ke Miss Tourism International 2026 di Filipina pada Disember ini.
Jauwadee juga akan berkhidmat sebagai duta pelancongan bagi mempromosikan warisan budaya, tarikan pelancongan dan hospitaliti Malaysia kepada audiens antarabangsa.
Pertandingan yang bertemakan “Beauty Exploration: Discover the Heritage Adventure of Promising Perak”ini bertujuan mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan warisan, budaya dan ekopelancongan.
Sepanjang minggu pertandingan bermula 7 Okt lalu, para finalis menyertai aktiviti penerokaan warisan di Ipoh, pengalaman kulinari yang menampilkan makanan istimewa Perak, pengembaraan ekopelancongan di Kuala Sepetang, persembahan kebudayaan serta inisiatif komuniti.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Jenny Choy Tsi Jen, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee, berkata tema tersebut bertujuan menonjolkan identiti unik Perak serta mempromosikan negeri berkenaan sebagai destinasi warisan, budaya dan pelancongan.
Beliau berkata warisan budaya Malaysia yang berbilang kaum, tradisi yang pelbagai dan masyarakat yang harmoni merupakan antara tarikan unik negara.
“Malaysia ialah sebuah negara yang bangga meraikan perpaduan dalam kepelbagaian. Kita adalah ‘rumah’ kepada masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan tradisi, namun kita tetap bersatu sebagai rakyat Malaysia.
“Warisan budaya kita yang pelbagai, tradisi yang berwarna-warni dan masyarakat yang harmoni menjadikan Malaysia benar-benar istimewa, sekali gus memberi pelawat dari seluruh dunia banyak sebab untuk meneroka dan mengalami sendiri keindahan negara kita,” katanya ketika berucap pada pertandingan itu.
Choy berkata pertandingan ini juga memberi peluang kepada para finalis untuk meneroka pelbagai destinasi di Malaysia, menghargai warisan budayanya dan merasai kemesraan serta hospitaliti rakyatnya.
Pemenang pertandingan pula bakal membawa tanggungjawab mempamerkan keindahan negara, identiti budaya, warisan, semangat dan perpaduan Malaysia yang unik di pentas antarabangsa, katanya. — BERNAMA






























