Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyambut baik kelulusan usul pindaan Perlembagaan parti dalam Persidangan Agung Khas minggu lalu.
Beliau berkata, pindaan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh struktur organisasi parti menerusi penstrukturan semula daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta Parlimen Labuan.
Menurutnya, langkah berkenaan bukan sekadar perubahan pentadbiran dalaman, sebaliknya satu penyusunan strategik bagi memastikan gerak kerja parti lebih tersusun, cekap dan berkesan di semua peringkat.
Katanya, penyelarasan bahagian mengikut kawasan Parlimen akan membantu memperkemas koordinasi jentera, mengurangkan pertindihan tugas serta membolehkan pemantauan parti dilaksanakan secara lebih jelas dan berfokus.
“Saya yakin pindaan ini akan terus memperkukuh kedudukan Gagasan Rakyat sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang mempunyai hala tuju jelas, disiplin organisasi yang mantap dan kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Dalam landskap politik yang sentiasa berubah, parti memerlukan struktur yang lebih kukuh agar setiap keputusan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang pantas dan berkesan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penyusunan semula itu tidak menafikan jasa serta peranan ahli akar umbi yang telah membina kekuatan parti selama ini.
Sebaliknya, katanya, pindaan itu bertujuan menggabungkan seluruh kekuatan tersebut dalam satu struktur yang lebih besar, tersusun dan mampu menggerakkan agenda perjuangan parti demi kestabilan politik serta pembangunan negeri Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kemasukan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Rasinin Kautis bersama kira-kira 150 ahli Warisan Liawan menyertai Gagasan Rakyat merupakan isyarat jelas bahawa perjuangan parti terus mendapat keyakinan rakyat serta pemimpin akar umbi.
Menurutnya, kemasukan itu membuktikan pendekatan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menekankan kestabilan politik, pembangunan rakyat dan kepimpinan mesra rakyat terus diterima pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya percaya keputusan Rasinin bersama barisan kepimpinan Warisan Liawan untuk bersama Gagasan Rakyat akan menjadi suntikan baharu kepada kekuatan parti, khususnya di kawasan Liawan dan pedalaman Sabah.
“Ia bukan sekadar penyertaan politik biasa, tetapi manifestasi keyakinan terhadap hala tuju Gagasan Rakyat sebagai platform tempatan yang mampu memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah secara lebih tersusun, matang dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, Gagasan Rakyat akan terus mendukung kepimpinan Hajiji selaku Presiden parti dalam memastikan perjuangan parti kekal berpaksikan kepentingan rakyat, kestabilan kerajaan negeri serta agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Keutamaan kita adalah memastikan politik Sabah terus bergerak atas landasan kestabilan, perpaduan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan ahli Gagasan Rakyat di semua peringkat agar menerima pindaan tersebut dengan semangat kekeluargaan, disiplin dan kesatuan.
Dalam masa sama, katanya, parti mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar perjuangan Gagasan Rakyat.
“Inilah masanya untuk kita memperkukuh saf, memperkemas jentera dan terus melangkah sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang matang, tersusun dan bersedia memikul amanah rakyat,” katanya.




























