KOTA KINABALU (Bernama): Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 169 pendatang melalui 25 operasi penguatkuasaan di seluruh Sabah, antara 13 hingga 18 Okt.
JIM Sabah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penahanan itu, merupakan hasil pemeriksaan terhadap 530 individu dalam operasi di di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Tenom dan Keningau.
Menurut kenyataan itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 131 warganegara Filipina, 36 warganegara Indonesia dan dua warganegara Pakistan.
“Daripada semua individu ditahan itu sebanyak 46 individu ialah kanak-kanak warganegara Filipina dan Indonesia.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh Sabah, bagi memastikan pematuhan undang-undang Imigresen serta membanteras kehadiran pendatang,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Orang ramai juga diminta melaporkan perlanggaran undang-undang terbabit kepada saluran rasmi JIM Sabah, melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam atau platform Sistem Pertanyaan Dalam Talian rasmi jabatan berkenaan. — BERNAMA






























