KOTA KINABALU: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi ini, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna di Sabah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.
“Orang awam di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata MET Malaysia akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan akan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.






























