Julita, Haslina dan Alijah bersama para peserta program.
KOTA KINABALU: Masyarakat digesa supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya keganasan rumah tangga di persekitaran mereka, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan sewajarnya.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata usaha menangani keganasan rumah tangga bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, malah memerlukan keprihatinan seluruh masyarakat.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 951 kes keganasan melibatkan wanita direkodkan di Sabah pada 2024, berbanding 911 kes pada 2025.
Daripada jumlah itu, kes keganasan rumah tangga menurun daripada 404 kes kepada 341 kes bagi tempoh sama.
“Bagaimanapun, angka yang direkodkan ini mungkin belum menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar kerana masih terdapat mangsa yang tidak berani tampil membuat laporan disebabkan rasa takut atau malu.
“Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] menyediakan perlindungan undang-undang kepada mangsa keganasan rumah tangga. Malah, undang-undang turut membenarkan mana-mana individu yang mempunyai sebab untuk mempercayai berlakunya keganasan rumah tangga menyalurkan maklumat kepada pegawai penguat kuasa,” katanya ketika berucap pada Program Keluarga Sejahtera, Wanita Unggul sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Sedunia 2026 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Julita berkata, mangsa dan orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam setiap hari, atau melalui WhatsApp di 019-261 5999.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Alijah Ismail; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah Haslina Ismail.
































