Dr Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Usaha pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan tumbangnya menara penghantaran elektrik T313 di Sungai Liwagu, Kampung Sagindai, Jalan Ranau-Telupid, sedang giat dilaksanakan dengan sasaran bekalan pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hari.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata Sabah Electricity (SE) sedang bekerja sepanjang 24 jam untuk membina menara penghantaran sementara menggunakan kaedah Emergency Restoration System (ERS) bagi mempercepatkan pemulihan bekalan.
Beliau berkata kejadian tumbangnya menara berkenaan berpunca daripada hakisan tapak asas akibat hujan berterusan dan arus deras banjir yang menghanyutkan asas kaki menara.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak SE menyasarkan tempoh enam hari untuk memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya, manakala usaha pemulihan secara berperingkat sedang giat dilaksanakan.
“Pihak SE juga sentiasa menyalurkan maklumat terkini kepada saya mengenai perkembangan kerja-kerja pemulihan tersebut dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Joachim berkata beliau memahami kesulitan yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan kehidupan seharian, kegiatan ekonomi, perniagaan serta perkhidmatan awam susulan gangguan bekalan elektrik itu.
Beliau meminta penduduk di lapan daerah terjejas, iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan, Beluran dan Telupid, supaya bersabar sementara kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.
Dr Joachim yang juga ADUN Kundasang, turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas SE yang bekerja siang dan malam dalam keadaan mencabar bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan secepat mungkin tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Beliau berkata kementerian akan terus memantau perkembangan usaha pemulihan bersama SE, sambil menegaskan kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
































