Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA: Sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan mula menawarkan kemudahan kredit sewa beli berdasarkan peruntukan baharu di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, penguatkuasaan akta berkenaan merupakan langkah penting kerajaan dalam memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Menurutnya, penguatkuasaan itu turut melibatkan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [P.U.(A) 171/2026] yang akan berkuat kuasa serentak bermula 1 Jun.
Katanya, pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang diluluskan Parlimen pada tahun lalu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerangka perundangan berkaitan ekosistem kredit pengguna di negara ini.
“Antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat sebelum ini adalah berkaitan transaksi sewa beli bagi pembelian kenderaan, khususnya melibatkan caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman.
“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin melangsaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, antara perubahan utama yang diperkenalkan menerusi pindaan tersebut ialah pemansuhan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78).
Beliau menjelaskan bahawa di bawah kaedah lama, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
Sebagai gantinya, katanya, peruntukan baharu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.
Selain itu, pindaan berkenaan turut mengiktiraf penggunaan teknologi dalam urusan perjanjian sewa beli sejajar dengan transformasi digital negara.
Menurut beliau, peruntukan baharu membenarkan penggunaan tandatangan digital serta penyerahan dokumen secara elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.
Dalam masa sama, keperluan pelaksanaan dua proses usaha wajar (due diligence) bagi pengesahan identiti peminjam turut diperkenalkan sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
Armizan berkata, bagi fasa pertama pelaksanaan bermula 1 Jun 2026, sebanyak 11 entiti telah bersedia sepenuhnya untuk menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan peruntukan baharu yang termaktub dalam Akta 212 dan peraturan subsidiarinya.
Beliau berkata, fasa kedua pelaksanaan pula disasarkan bermula pada September tahun ini bagi membolehkan lebih banyak institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli menyertai sistem baharu tersebut.
“Pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu ini dinasihatkan supaya membuat semakan berkaitan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli,” katanya.
Bagi institusi kewangan dan syarikat yang masih dalam proses integrasi serta pengubahsuaian sistem, kerajaan memberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.
Menurut Armizan, pihak terbabit digalakkan menawarkan perkhidmatan berasaskan kerangka undang-undang baharu itu secepat mungkin dan memaklumkan kementerian sebaik proses peralihan dimuktamadkan.
Beliau berkata, reformasi undang-undang tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.






























