KOTA KINABALU: Kontinjen Kementerian Kewangan Negeri (MOF) Sabah mencipta sejarah apabila muncul juara kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri) pada Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah (HKHS) 2026 di Dataran Bandaraya, di sini.
Lebih bermakna, kejayaan itu merupakan kali pertama Kontinjen Kementerian Kewangan Negeri Sabah dinobatkan sebagai juara sejak menyertai perbarisan berkenaan sekitar awal 2007, sekali gus menjadi pencapaian bersejarah buat kementerian berkenaan.
Kontinjen seramai 40 anggota itu menandingi 18 kontinjen lain dalam kategori berkenaan yang disertai 19 kontinjen.
Tempat kedua disandang Jabatan Ketua Menteri (JKM), manakala Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) menduduki tempat ketiga.
Pengurus Kontinjen MOF Sabah, Ak. Norfareez Pg. Narudin berkata, kejayaan itu disambut dengan perasaan bercampur antara keterujaan dan kegembiraan kerana mereka tidak menyangka berjaya membawa pulang kejuaraan.
Menurutnya, persiapan kontinjen bermula sebelum Ramadan sebagai persediaan menghadapi perbarisan sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, sebelum latihan diteruskan semula pada Mei dan Jun, setiap Selasa dan Khamis.
“Bermula Julai dan Ogos, latihan dipertingkatkan kepada setiap hari dari jam 3 hingga 4.30 petang sebagai persediaan menghadapi perbarisan HKHS 2026,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama sepanjang latihan ialah kesukaran memastikan semua anggota dapat hadir mengikut jadual yang ditetapkan berikutan tuntutan tugas hakiki serta tugasan tambahan.
“Kesibukan kerja hakiki dan tugas-tugas tambahan menjadikan komitmen ahli untuk turun berlatih agak sukar. Namun, dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, latihan dapat diteruskan sehingga membuahkan hasil,” katanya.
Norfareez yang bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran, turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun serta Pembantu Menteri, Datuk Ben Chong Chen Bin dan Dato’ Sr. Mohd. Ishak Ayub atas sokongan, kepercayaan dan bimbingan yang diberikan.
Katanya, sokongan berkenaan menjadi sumber semangat dan motivasi untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair; Timbalan Setiausaha Tetap, Anthea James Jipanus; Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Datuk Chee Shok Ting; serta Dayang Selha Ibrahim selaku Ketua Jawatankuasa HKHS dan semua yang terlibat.
“Tidak ketinggalan juga semua ahli jawatankuasa HKHS 2026 serta semua pihak yang banyak membantu melancarkan urusan kontinjen,” katanya.
Norfareez berkata, sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Kontinjen, pihaknya akan berusaha mempertahankan kejuaraan tersebut.
“Untuk mengekalkan kejuaraan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan dan dorongan daripada semua pihak, saya percaya Kontinjen MOF Sabah mampu memberikan yang lebih baik bagi mengekalkan kejuaraan tersebut pada tahun seterusnya,” ujarnya.




























