PUTRAJAYA (Bernama): Penyertaan 110 atlet berusia bawah 21 tahun dalam kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mencerminkan usaha negara membina kesinambungan bakat dan bukan semata-mata mengejar kejayaan jangka pendek.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata jumlah itu merupakan perkembangan positif kerana pendedahan di pentas Sukan Asia mampu membantu melahirkan kelompok atlet baharu yang boleh membawa cabaran negara pada masa depan.
“Yang paling penting bukan kita hanya ingin menghantar atlet yang boleh membawa pingat semata-mata, tetapi kita kena tengok langkah ke hadapan, masa depan sukan negara kita.
“Apabila kita dapat melahirkan lebih ramai atlet pelapis, maka kita tidak ada kekosongan untuk mencari bakat-bakat baharu. Ini satu berita baik juga untuk negara kerana lebih ramai atlet dapat ditonjolkan dan mampu membawa nama negara ke arah yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan Aichi-Nagoya 2026 dan Proses Kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia akan menghantar 356 atlet bersama 185 jurulatih dan pegawai untuk menyertai 30 jenis sukan pada temasya empat tahun sekali itu yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Menurutnya, daripada 356 atlet berkenaan, 15 merupakan atlet di bawah program Road to Gold (RTG), 158 atlet podium, 14 pelapis manakala 169 lagi dalam kategori berfasa.
Pada masa sama, Mohammed Taufiq berkata persiapan kontinjen kini memasuki fasa terakhir dengan beliau bersama Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Sumali Reduan akan melakukan lawatan ke beberapa lokasi latihan.
Beliau berkata sasaran pingat Malaysia pada Aichi-Nagoya 2026 akan diumumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang pada 8 Sept.
Beliau berkata perancangan menuju LA28 juga telah bermula dengan MSN membuat pemetaan awal atlet berpotensi merangkumi beberapa sukan termasuk renang, terjun, olahraga, berbasikal, pelayaran, memanah, badminton dan hoki berdasarkan laluan kelayakan masing-masing.
“MSN telah membuat unjuran awal sekitar 28 atlet yang berpotensi layak ke LA28. Ini semua tertakluk kepada prestasi serta proses kelayakan masing-masing dan angka ini boleh berubah dari semasa ke semasa,” kata Mohammed Taufiq.
Menurutnya, pendekatan menuju LA28 perlu lebih tersusun dan bermula lebih awal kerana tempoh kelayakan bagi beberapa sukan bermula seawal tahun ini. — BERNAMA




























