LAHAD DATU (Bernama): Kereta dinaiki tiga lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Hutan Simpan Bagahak di sini malam tadi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik semasa mereka dalam perjalanan dari Tungku menuju ke bandar Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata kejadian berlaku pada kira-kira 8 malam dan semua mangsa terdiri daripada seorang lelaki yang belum dikenal pasti dan dua remaja berusia 17 dan 18 tahun tercampak keluar dari kenderaan.
“Kesemua mangsa jatuh di jalan dan kereta pula terjatuh ke dalam gaung di sebelah kiri jalan. Pemeriksaan awal di lokasi kejadian turut menemukan kesan tayar sepanjang kira-kira 20 meter di permukaan bahu jalan dipercayai milik kereta itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulbaharin berkata pemeriksaan oleh pihak bomba di dalam dan sekitar kenderaan mendapati tiada mangsa lain terlibat dalam kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun menerusi talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Dzulbaharin juga menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan serta had laju yang ditetapkan serta tidak memotong di kawasan berbahaya. — BERNAMA




























