PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 27 tahun maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum melanggar tembok bulatan di Bulatan 360, Jalan Bundusan, di sini awal pagi tadi
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar tembok bulatan sehingga menyebabkan bahagian hadapan kenderaan terbakar.
Pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang lelaki mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Identiti penumpang yang cedera parah masih belum dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, menerusi talian 019-809 5133.






























