Jamawi (tengah) bergambar kenangan dengan semua peserta Perkhemahan Strategik MADANi.
TENOM: Tenom menyasarkan untuk menjadi antara destinasi pelancongan utama Sabah selepas Kundasang dan Semporna menerusi pembangunan pakej pelancongan yang mengetengahkan sejarah, produk pertanian, kopi tempatan dan keindahan alam semula jadi daerah itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap Datuk Jamawi Jaafar berkata usaha itu akan diperkukuh menerusi cadangan penganjuran Tahun Melawat Tenom 2027, bersempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berkata jawatankuasa Discover Tenom yang ditubuhkan pada April lalu sedang mengenal pasti potensi pelancongan di Tenom dan Kemabong, termasuk lokasi menarik yang boleh dibangunkan secara komersial.
“Dalam tempoh dua bulan ini, saya yakin kita dapat memuktamadkan pakej-pakej pelancongan dan tempat menarik yang boleh dipromosikan kepada masyarakat luar supaya memilih Tenom sebagai salah satu destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhemahan Strategik MADANI Santuni PIBG anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) St Anthony, Tenom, kelmarin.
Jamawi berkata cadangan Tahun Melawat Tenom 2027 telah dibincangkan bersama pengerusi persatuan pelancongan daerah Tenom, dengan syor supaya perkara itu dikemukakan kepada Pejabat Daerah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, antara tarikan yang boleh diketengahkan ialah Kopi Tenom, Pamelo Tenom, Rundum Highland Resort, Naluyan Jungle Lodge Resort, Pusat Kebudayaan Murut, Taman Pertanian Sabah, Yong Farmstay dan kawasan alam semula jadi yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata pihaknya juga akan mengusulkan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah supaya perkhidmatan kereta api ekspres dari Tanjung Aru ke Tenom disediakan setiap Sabtu dan Ahad, dengan perjalanan pulang pada sebelah petang.
“Dengan adanya perkhidmatan ini, lebih ramai pengunjung dari luar dapat datang ke Tenom. Kita juga boleh menyediakan pakej pelancongan dua hari satu malam serta tiga hari dua malam yang menggunakan pengangkutan kereta api,” katanya.
Jamawi berkata persediaan turut melibatkan penambahbaikan infrastruktur, kemudahan restoran yang bersih, penginapan yang selesa dan tempat letak kereta bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman yang baik.
Beliau yakin kerjasama antara Pejabat Daerah, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan akan membolehkan Tenom bersedia menerima kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Sementara itu, beliau berkata penganjuran perkhemahan di Taman Pertanian Sabah, yang turut dikenali sebagai Camping Island, merupakan inisiatif untuk mempromosikan lokasi berkenaan kepada komuniti yang meminati aktiviti perkhemahan.
Menurutnya, program yang disertai seramai 200 peserta itu bukan sahaja memperkenalkan tarikan taman berkenaan, malah dapat membantu menambah tabung sekolah menerusi aktiviti yang dilaksanakan.
Program tersebut melibatkan peserta daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Labuan dan Sarawak selain Sabah.
Beliau berharap lebih banyak inisiatif seumpama itu dapat dilaksanakan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan komuniti sambil memperkenalkan destinasi menarik di Sabah kepada orang ramai.
Hadir sama ialah Guru Besar Sk St Anthony, Irwan Buing; Yang Dipertua PIBG, Jasni Nasip serta para penaja.






























