KOTA KINABALU: Nasihat tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di Mindanao, Filipina pagi ini telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, nasihat tsunami yang dikeluarkan pada jam 8.36 pagi, 8 Jun 2026 itu ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat.
Menurut kenyataan itu, maklumat berkenaan merupakan kemas kini terakhir yang dikeluarkan MET Malaysia berkaitan kejadian gempa bumi tersebut, melainkan terdapat perkembangan lanjut atau maklumat tambahan.
Terdahulu, satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna di Sabah.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Sehubungan itu, orang awam di kawasan yang terlibat sebelum ini dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Dr Mohd. Hisham berkata, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya perlu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi myCua






























