Hajiji memotong reben sebagai simbolik pembukaan rasmi Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran, hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, sedang merangka Pelan Induk Pelancongan Sabah yang komprehensif dan berjangka panjang yang dijangka siap sebelum penghujung tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, pelan induk itu akan menjadi hala tuju baharu bagi pertumbuhan sektor pelancongan Sabah dengan menyediakan panduan yang jelas, menangani aspek kemampanan serta cabaran seperti kesalinghubungan penerbangan, mencerminkan aspirasi rakyat tempatan dan menyediakan kerangka yang melangkaui pelan-pelan induk terdahulu.
“Dengan program-program yang sedang dilaksanakan ketika ini, saya percaya Sabah berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya ketika merasmikan pembukaan rasmi Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Sabah mencatat prestasi pelancongan yang memberangsangkan tahun lalu dengan merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, jumlah itu menjana hasil pelancongan sebanyak RM8.74 bilion serta mewujudkan hampir 400,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri.
Hajiji turut mengalu-alukan pembukaan Hilton Garden Inn yang merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan berterusan bernilai kira-kira RM500 juta, melibatkan pembangunan semasa dan projek-projek Hilton pada masa hadapan di kawasan berkenaan.
“Pelaburan ini akan terus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor pelancongan dan hospitaliti Sabah serta selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh industri pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan seperti itu turut menyokong beberapa teras utama strategi pertumbuhan pelancongan Sabah, termasuk memperkukuh pilihan penginapan premium dan mampan, mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna serta pembangunan kemahiran untuk rakyat tempatan, memperkasa perusahaan berasaskan komuniti melalui rantaian bekalan dan mempromosikan pelancongan yang menghormati serta memelihara alam sekitar.
Walaupun berdepan pelbagai faktor luaran yang boleh mempengaruhi sektor pelancongan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menerusi kementerian berkaitan akan terus menggabungkan elemen kemampanan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti serta memanfaatkan inovasi digital bagi membina industri pelancongan bernilai tinggi yang lebih berdaya tahan.
“Pendekatan ini akan memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar dan warisan budaya,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran jenama Hilton turut mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau dan global.
Menurutnya, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu awal bulan lalu, selain hotel-hotel yang bakal dibina atau kini berada pada pelbagai peringkat pembinaan seperti Avani, Fairfield by Marriott, Club Med, InterContinental dan Wyndham, memberi isyarat jelas bahawa Sabah kekal sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik untuk pelaburan berkualiti, khususnya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan hospitaliti.
“Ia juga membuktikan ketahanan serta keyakinan rakan-rakan industri kita walaupun berdepan ketidaktentuan semasa,” katanya.
Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana hartanah yang dibangunkan semula sebagai Hilton Garden Inn Kota Kinabalu itu terletak di kampung halamannya, Tuaran, sebuah daerah yang telah berkembang pesat sehingga menjadi seperti hari ini.
“Dengan lokasi strategik serta tarikan alam semula jadi yang melimpah ruah, Tuaran mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, khususnya sebagai hab pelancongan. Pembangunan seperti ini akan melengkapkan tarikan sedia ada, meningkatkan ketibaan pelawat serta memberi manfaat kepada perniagaan sekitar, usahawan tempatan dan komuniti secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut menyambut baik sumbangan Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran terhadap pembangunan ekonomi tempatan menerusi pewujudan peluang pekerjaan.
Lebih membanggakan, katanya, majoriti pekerja hotel berkenaan terdiri daripada penduduk daerah Tuaran sendiri.
“Ini merupakan perkembangan yang sangat positif kerana ia mencerminkan aspirasi bersama untuk memastikan komuniti tempatan mendapat manfaat secara langsung daripada pelaburan yang dilaksanakan di kawasan mereka.
“Sesungguhnya, Hilton Garden Inn melambangkan visi bersama kita terhadap pelancongan bernilai tinggi dan mampan yang memberi manfaat kepada ekonomi serta komuniti setempat,” katanya.






























