Tun Musa dan Toh Puan Faridah, diiringi Hajiji dan isterinya Datin Seri Juliah Salag, melihat kraftangan yang dijual di Tamu Besar Kota Belud.
KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu setiap daerah di Sabah membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berkata setiap daerah mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan, termasuk Kota Belud yang kaya dengan warisan budaya, tradisi dan keindahan alam semula jadi.
“Kota Belud merupakan antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk aktiviti pengembaraan, rekreasi, kebudayaan dan berasaskan alam semula jadi, dengan banyak tarikan untuk diterokai, termasuk pulau dan sungainya.
“Malah, Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023. Ini membuktikan potensi besar daerah ini dan sekali gus kekuatan Sabah sebagai destinasi pelancongan,” katanya pada majlis pembukaan Tamu Besar Kota Belud 2026 di sini.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun itu juga merupakan antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Sabah yang menarik pengunjung menerusi keunikan budaya, makanan tempatan, kraftangan dan cara hidup tradisional.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) turut mengiktiraf Tamu Besar Kota Belud sebagai acara warisan dan kebudayaan penting dalam landskap pelancongan negeri.
Beliau mahu warisan kaya daerah itu terus dibangunkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
“Melalui pendekatan ini, manfaat pelancongan tidak akan terhad kepada pemain industri dan perniagaan utama sahaja, sebaliknya turut dinikmati pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan, pengusaha kraftangan dan masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji berkata Tamu Besar Kota Belud bukan sekadar tempat untuk berniaga atau bertukar-tukar barangan, malah sejak sekian lama berperanan sebagai tempat pertemuan sosial masyarakat berbilang kaum dan agama, termasuk komuniti Bajau-Samah, Kadazandusun, Murut, Iranun dan Cina, yang tradisinya berterusan hingga kini.
“Tradisi ini mesti dipelihara sambil disesuaikan dengan perubahan zaman bagi memastikan ia terus relevan kepada generasi akan datang.
“Melalui semangat perpaduan yang kukuh di tamu ini, kita membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Sabah merupakan kekuatan terbesar kita dalam melangkah maju bersama merealisasikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kota Belud, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0.
Antara projek berkenaan ialah laluan Kota Belud-Wariu di Lebuhraya Pan Borneo yang hampir siap serta penubuhan Pusat Ekonomi Digital di bangunan Majlis Daerah.
“Kita mahu projek pembangunan ini membawa manfaat nyata kepada rakyat, sama ada melalui perhubungan yang lebih baik, kemudahan digital yang menyokong aktiviti ekonomi atau peluang baharu kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata Kota Belud mempunyai kekuatan besar dalam sektor pertanian, khususnya penanaman padi, selain perusahaan kecil dan sederhana, pengeluaran makanan, kraftangan dan pelancongan.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memberikan tumpuan kepada sektor lain bagi memperkukuh kegiatan ekonomi tradisional Kota Belud melalui pendekatan baharu, teknologi, aktiviti tambah nilai dan akses pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata daripada kira-kira 12,000 usahawan di seluruh Sabah yang menerima pelbagai bentuk bantuan dan geran perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seramai 1,800 daripadanya berasal dari Kota Belud.
“Ini mencerminkan potensi dan keupayaan besar usahawan di daerah ini yang perlu terus kita sokong dan perkasa,” katanya.






























