Dr. Joachim (duduk, tengah) serta para tetamu yang hadir bergambar bersama dengan Ahli Majlis Daerah Ranau sesi 2025-2027.
RANAU: Seramai 18 individu dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Ranau bagi sesi 2025–2027 dalam satu majlis angkat sumpah yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam di Hotel Perkasa Kundasang, hari ini.
Menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang dilantik, Dr. Joachim mengingatkan mereka bahawa peranan ahli majlis bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan tunjang utama kepada dasar dan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Syabas dan tahniah kepada semua 18 orang Ahli Majlis yang dilantik atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan negeri. Anda adalah ‘kaunselor’ kepada Kerajaan Peringkat Ketiga, memainkan peranan penting dalam kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai kerajaan peringkat ketiga, PBT mempunyai kuasa tersendiri dan setiap keputusan yang dibuat perlu diteliti dengan penuh tanggungjawab serta berlandaskan kepentingan awam.
“Daripada pelesenan premis, pelan pembangunan, kawalan hasil hinggalah kelulusan teknikal – semuanya memberi kesan langsung kepada rakyat. Kita memerlukan kecekapan dan ketelusan dalam setiap tindakan,” katanya.

Dr. Joachim (tiga dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Majlis Daerah Ranau bagi sesi 2025-2027, Samsul Sinun.
Dalam konteks pembangunan, beliau berkata, kesepaduan antara semua jabatan amat penting agar pembangunan yang dirancang bukan sahaja memenuhi keperluan ekonomi tetapi juga lestari dari segi alam sekitar dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, bandar kecil seperti Ranau dan Kundasang kini turut berdepan cabaran urbanisasi seperti yang dialami kawasan lain di Sabah dan Malaysia amnya.
“Majlis Daerah perlu progresif, menggubal dasar yang mesra pelabur, mesra rakyat dan berpandangan jauh agar Ranau terus berkembang secara mampan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan barisan ahli majlis ini diharap dapat memperkukuh integriti pentadbiran dan mempercepat keputusan strategik di peringkat tempatan.
Beliau menyeru semua Ahli Majlis agar melaksanakan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti.
“Jangan sia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak, Ranau akan terus maju sebagai daerah yang membangun secara inklusif,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Adun dilantik, Datuk Amisah Yasin; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra M. Sator; wakil kepada Ahli Parlimen Ranau Louis Sinti; wakil kepada ADUN Karanaan, Datuk Faimin Kamin; wakil kepada ADUN Paginatan, Hishamuddin Harun; Ketua Daerah OKK Muhasip Haji Roman dan OKK Dominic Ghanie.