KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan kesediaan penuh untuk menggerakkan jenteranya bagi memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketuanya, Christoper Mandut berkata, Pemuda PBS menyambut baik ketegasan dan kesiapsiagaan GRS, terutama selepas kenyataan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bahawa gabungan itu bersedia bertanding secara solo jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah memuktamadkan kerjasama.
“GRS mempunyai kekuatan tersendiri untuk menghadapi apa jua senario politik, termasuk bertanding bersendirian jika perlu. Ini satu pendirian yang tegas dan wajar disokong sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christoper turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji dan barisan pemimpin GRS yang disifatkan sebagai berpengalaman dan berpandangan jauh dalam merangka strategi untuk mempertahankan gabungan itu.
“Gabungan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh yang mempunyai visi jelas. Saya percaya mereka mampu memastikan kestabilan politik di Sabah terus terpelihara,” katanya.
Menurut beliau, jentera Pemuda PBS kini berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan bila-bila masa bagi mengukuhkan sokongan akar umbi terhadap GRS.
“Kami komited mempertahankan GRS dan memastikan kesinambungan pembangunan serta kemajuan negeri Sabah,” katanya.
Christoper turut menyatakan aspirasi untuk melihat Sabah mencapai pentadbiran yang stabil dan berdaya saing seperti Sarawak, dengan menjadikan GRS sebagai wadah politik utama rakyat negeri ini.
“Kita mengimpikan pentadbiran stabil seperti yang dibuktikan di Sarawak. Saya percaya Sabah mampu mencapainya melalui kekuatan GRS,” katanya.






























