Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan episod khas program wacana nasional berimpak tinggi, “Dialog Negara”, yang menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama pada 9 malam ini.
Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan kelmarin memaklumkan program berdurasi 60 minit bertemakan “Di Sebalik Keputusan” itu akan disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, selain turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Menurut kenyataan itu, episod khas berkenaan membuka ruang perbincangan secara lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran dan rasional di sebalik keputusan penting yang dibuat oleh kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Berbeza daripada format wawancara konvensional, Dialog Negara Khas mengetengahkan pendekatan dialog terbuka yang menghimpunkan Perdana Menteri bersama pengacara, barisan panel pakar pelbagai industri serta penonton di studio.
“Perbincangan akan memberi tumpuan kepada empat dimensi utama, iaitu Di Sebalik Sebuah Keputusan, Di Sebalik Reformasi dan Perubahan Di Sebalik Harapan Rakyat, serta Di Sebalik Masa Depan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penyiaran Malaysia memaklumkan pendekatan itu membolehkan penonton memahami bukan sahaja sesuatu keputusan yang dilaksanakan, malah proses pertimbangan, cabaran pelaksanaan dan kesannya terhadap kehidupan masyarakat.
Selain itu, program berkenaan turut menampilkan interaksi bersama tokoh dan wakil pelbagai sektor termasuk ekonomi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan, pertanian, tatakelola dan bidang berkaitan bagi memperkaya perspektif perbincangan.
Menurut Jabatan Penyiaran Malaysia, penganjuran program itu sejajar dengan komitmen RTM selaku penyiar awam dalam memperkasakan budaya wacana yang matang, berfakta dan inklusif, selain berperanan sebagai jambatan antara rakyat dengan pembuat dasar. — BERNAMA






























