Gambar Hiasan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat berhubung isu antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Menurut Utusan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, persetujuan itu dicapai ketika pertemuan Anwar dan Abang Johari bersama kepimpinan tertinggi Petronas dan Petros di Perdana Putra, di sini.
Katanya, prinsip-prinsip asas itu sebagaimana dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara Petronas dan Petros.
“Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada
kerjasama Petronas dan Petros dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,” katanya kelmarin.
Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk
menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan.
“Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak dilaporkan mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas 2016.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa loji kendalian PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) telah beroperasi tanpa permit sah melibatkan aktiviti pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan saluran paip dan peralatan gas asli.
Petronas turut mengesahkan PCSB menerima notis daripada kementerian tersebut pada 30 April lalu berhubung isu pemprosesan dan pengedaran gas.