PETALING JAYA: Sebanyak 230 daripada 390 projek pembinaan semula sekolah daif yang diluluskan di Sabah telah siap sepenuhnya.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya komited memastikan projek berkenaan berjalan lancar demi manfaat semua murid.
Beliau juga mahu setiap projek dilakukan pemantauan secara proaktif dan sebarang isu kelewatan diberi perhatian serius.
“Ini mesej utama yang saya sampaikan sewaktu sesi pembentangan projek pembinaan bangunan gantian 24 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas Umas.
“Komitmen Kerajaan Madani jelas. Pada tahun ini sahaja, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah yang turut merangkumi kelulusan bagi 52 projek baharu.
“Sehingga bulan ini, sebanyak 230 dari 390 projek yang diluluskan pembinaan di Sabah telah siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, kelmarin.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menegaskan tidak timbul isu kelewatan menaik taraf sekolah daif di Malaysia susulan usaha itu dilaksanakan berdasarkan giliran dan jadual ditetapkan kerajaan.
Jelas Fadhlina, kerajaan sangat komited memastikan akses pendidikan terbaik untuk murid di negara ini dan proses menambah baik sekolah usang dilakukan berterusan.