KOTA KINABALU: Seramai 144 mangsa daripada 40 keluarga di Sabah masih ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Nabawan susulan banjir, menurut laporan terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Laporan setakat jam 6 pagi, 25 November 2026, menunjukkan Nabawan merupakan satu-satunya daerah di Sabah yang masih terjejas akibat banjir, dengan keadaan dilaporkan tidak berubah.
Sementara itu, di Sarawak, seramai 59 mangsa daripada 19 keluarga terjejas akibat kebakaran berskala besar di Betong dan kini ditempatkan di sebuah PPS.

Keadaan di Betong juga dilaporkan tidak berubah.
Secara keseluruhan, sebanyak 12 PPS masih beroperasi di lima negeri membabitkan 1,385 mangsa daripada 393 keluarga.
Daripada jumlah itu, 11 PPS dibuka bagi menempatkan 1,326 mangsa banjir daripada 374 keluarga, manakala sebuah PPS di Betong menempatkan mangsa kebakaran.
Lima negeri terjejas ialah Selangor, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak, melibatkan lapan daerah.
Laporan itu turut merekodkan satu kematian akibat bencana.






























