KOTA KINABALU (Bernama): Tiga daripada empat remaja perempuan yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini telah berjaya dikesan dan kes membabitkan mereka selesai manakala seorang lagi masih belum ditemukan.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga remaja terbabit ialah Lorna Palmani, 17, Nadyana Albaser, 16, dan Farha Nabila Abdullah, 14.
Sementara itu, Olivia Jeffrey, 16, beralamat di Taman Richdar, Menggatal yang dilaporkan hilang sejak 7 Nov lepas masih belum ditemukan dan usaha mengesannya sedang giat diteruskan oleh pihak polis.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Olivia diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222 atau balai polis berhampiran.
IPD Kota Kinabalu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama dan perkongsian maklumat yang diberikan dalam membantu usaha pengesanan berkenaan. — BERNAMA




























