LONDON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun secara tidak sengaja diberikan segelas wain putih dalam penerbangan Cathay Pacific pada 24 April lalu, menyebabkan ibu bapanya berkongsi insiden itu di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, ibu kanak-kanak yang dikenali sebagai Wong berkata, keluarga berkenaan berada di kabin kelas perniagaan dalam penerbangan dari Hong Kong ke London.
Kanak-kanak itu hanya menyedari sesuatu yang aneh selepas meneguk minuman tersebut, yang disangkanya air, sebelum memberitahu bapa, Tsui, bahawa rasanya masam.
Mereka segera memaklumkan kepada seorang pramugari, yang didakwa hanya meminta maaf, dan mengambil semula minuman beralkohol tersebut serta menggantikannya dengan air.
Wong kemudian mengadu kepada seorang anak kapal, yang seterusnya mendapatkan bantuan daripada doktor Perancis yang turut berada dalam penerbangan bagi memeriksa keadaan anaknya.
Doktor tersebut meyakinkan Wong bahawa anaknya tidak menunjukkan sebarang simptom akibat pengambilan alkohol dan berada dalam keadaan baik.
Dalam perkongsian di platform Xiaohongshu, Wong meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan kesihatan jangka panjang akibat insiden itu.
“Kami faham pengambilan alkohol dalam kalangan kanak-kanak boleh memberi kesan neurologi, perkembangan dan fisiologi yang mungkin tidak kelihatan serta-merta,” katanya.
Susulan itu, syarikat penerbangan terbabit memohon maaf kepada pasangan dan menawarkan bayaran balik untuk tiket kanak-kanak, tiga baucar naik taraf kelas penerbangan serta menanggung kos pemeriksaan perubatan.
Dalam e-mel kepada Wong pada 26 April, syarikat penerbangan itu turut memaklumkan memberi bimbingan serta-merta kepada semua anak kapal untuk menekankan kepentingan menyemak pesanan sebelum disajikan kepada penumpang.
































