Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Sabah telah mengutip sejumlah RM5.3 bilion hasil royalti kayu balak di bawah Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) dari tahun 1999 hingga 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, jumlah itu mewakili purata hasil tahunan sebanyak RM213 juta kepada negeri, manakala inisiatif SFMLA telah mewujudkan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
“Tidak dapat dinafikan bahawa masih ada yang skeptikal atau memandang negatif terhadap aktiviti SFMLA di Sabah. Namun, janganlah kita terpengaruh dengan pandangan tidak membina atau hasutan yang tidak menyumbang kepada kemajuan Sabah,” katanya pada Majlis Apresiasi Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.
Menurut Hajiji, Sabah merupakan perintis dalam pengurusan hutan mampan (SFM) melalui jalinan kerjasama pintar dengan sektor swasta selepas pelaksanaan SFMLA jangka panjang diperkenalkan pada 1997.
“Konsep pengurusan hutan mampan ini banyak membantu Kerajaan Negeri menguruskan kawasan hutan simpan Sabah yang luas. Ia bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri melalui sektor pembalakan dan industri berasaskan kayu, malah memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan yang tinggal berhampiran kawasan lesen.
“Setakat ini, kira-kira 1.4 juta hektar Hutan Simpan Kelas II di Sabah telah dilesenkan kepada 43 pemegang konsesi SFMLA,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan menjalankan semakan kemajuan tahunan terhadap setiap pemegang konsesi SFMLA. Sejak diperkenalkan, sembilan lesen telah dibatalkan kerana gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian.
“Ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan konsep SFMLA. Namun, majoriti pemegang konsesi SFMLA menunjukkan komitmen mereka dalam menguruskan hutan secara mampan di bawah kawasan konsesi masing-masing.
“Buktinya, malam ini seramai 32 pemegang konsesi SFMLA menerima Sijil Pematuhan atas pencapaian mereka dalam Pelan Kerja Tahunan 2024,” katanya.
Ketua Menteri turut menyeru semua pemegang konsesi SFMLA yang terlibat dalam pengurusan ladang hutan untuk menggandakan usaha mencapai sasaran penanaman di kawasan masing-masing.
“Ini penting bagi memastikan matlamat kita di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022–2036, iaitu sekitar 18,000 hektar ladang hutan setahun, dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.
Menurut beliau, Sabah menerima Sijil Penghargaan pada Mac lalu daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sebagai negeri ketiga tertinggi yang mewartakan kawasan perlindungan baharu di Malaysia selepas Johor dan Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Sehubungan itu, Sabah telah menerima RM26.45 juta di bawah Fasa Pertama Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) daripada Kerajaan Persekutuan.
“Dana ini akan menambah nilai kepada usaha Sabah untuk meningkatkan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus. Sabah telah mewartakan 2.012 juta hektar TPA, iaitu 27.15 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri.
Selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, katanya, Sabah kini memerlukan sekitar 211,000 hektar lagi untuk mencapai sasaran 30 peratus TPA tahun ini.
Sehubungan itu, beliau gembira mengumumkan bahawa Jabatan Perhutanan sedang menyediakan kertas cadangan untuk mewartakan beberapa lagi kawasan perlindungan kritikal di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan sasaran TPA dapat dicapai tahun ini.
“Saya menyokong penuh usaha ini dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya.
Hajiji berkata, pindaan kepada Enakmen Hutan 1968 yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri pada April tahun ini adalah tepat pada masanya kerana ia memberi kuasa penuh kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal aktiviti perdagangan kredit karbon berasaskan hutan.
Katanya, melalui pindaan tersebut, aktiviti karbon hutan akan dikawal mengikut terma dan syarat yang menjaga kepentingan negeri, dan sebarang hasil atau pendapatan daripada aktiviti kredit karbon hutan akan terus masuk ke akaun negeri.
Pindaan itu juga memberikan kuasa kepada Ketua Konservator Hutan Sabah untuk menutup sebahagian kawasan hutan simpan sensitif; mengeluarkan permit serta mengenakan bayaran bagi aktiviti tertentu di kawasan hutan simpan; dan meminda hukuman bagi kesalahan hutan.
“Pindaan ini, yang selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, akan memperkukuh lagi penguatkuasaan perhutanan dalam menangani penerokaan haram hasil hutan dan mempertingkat usaha pemuliharaan hutan.
Sejak 2010, sebanyak 34 kes tangkapan pencerobohan hutan simpan tidak dapat didakwa di mahkamah kerana kawasan hutan tersebut tidak ditutup untuk akses awam,” katanya.